Sejarah Luak Inas Dan Penubuhannya

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

Luak Inas terletak di antara Daerah Kuala Pilah dan Daerah Tampin. Terdapat beberapa buah kampung disekitarnya dimana penduduknya menjalankan aktiviti menanam padi dan menoreh getah. Ada juga sebahagian daripadanya yang berkhidmat dengan kerajaan, tetapi majoritinya adalah petani. Di Luak Inas juga terdapat perkampungan Orang Asli yang menunjukkan mereka adalah penduduk asal bagi luak berkenaan sehinggalah pada kurun ke-17 dan ke-18 barulah orang-orang Minangkabau meneroka luak ini.

Sejarah Ringkas Luak Inas
Berdasarkan cerita orang tua terdahulu iaitu sebelum Inas dibuka ia dikuasai oleh Maharaja Jin yang bernama Maharaja Joing. Maharaja ini beristana mahligai di Lubuk Bunga, di Sungai Jereneh/Sungai Jelai, Inas sekarang ini. Di Ulu Sungai ini pula ada seorang puteri yang bernama Kanun (ada juga yang menyebutnya Kunun) yang duduk di puncak gunung di ulu Sungai Jereneh/Sungai Jelai ini (di sempadan Kampung Miku, Batu Gajah, Rembau). Maharaja Jin ini telah dipengaruhi oleh seorang hulubalang bendahara Sekudai yang bernama To’ Sabun, yang bermahligai di Sungai Keroh di Johol.

Untuk mengahwinkannya dengan Puteri Kanun, maka dengan tipu helah To’ Sabun dan Puteri Kanun ini, Maharaja Jin yang bermaharajalela ini berjaya dipenjara (dipukau) oleh Puteri Kanun apabila dia tidur diatas pangkuannya. Maharaja Jin terus tidur dengan lena sehinggalah menjadi batu, di bawah mahligai di Lubuk Bunga sekarang. Setelah Maharaja Jin dipenjarakan barulah lembah Sungai Jernih dapat diteroka untuk dijadikan kampung, sawah dan sebagainya. Asal nama Inas ini diambil sempena daripada Sungainya yang jernih. Mereka hanya menyebut perkataan ‘Ineh’ iaitu kependekan perkataan ‘Jernih’. Perkataan Ineh ini kemudiannya ditulis sebagai Inas dalam bahasa persuratan dan kekal lah hingga sekarang namanya.

Pemerintahan Dahulu & Sekarang Luak Inas
Untuk pengetahuan anda, Inas dahulunya dikenali sebagai Jelai. Ia juga adalah luak tertua jikalau hendak dibandingkan dengan luak-lauk lain di Tanah Mengandung ini. Ia dibuktikan apabila dahulu orang-orang Luak Ulu Muar pernah mengadap Dato’ Johol meminta seorang penghulu, kemudiannya diperkenankan anak Penghulu Luak Inas (Senduk Emas, anak Penghulu Dato’ Bayan yang juga merupakan ibu kepada Penghulu Naam, Penghulu Luak Ulu Muar) untuk memerintah di Luak Ulu Muar. Penubuhan awal Negeri Sembilan pada tahun 1773 juga memasukkan Inas sebagai salah sebuah luak (Negeri) yang bergabung sama.

Kedudukan Luak Inas dalam peta Negeri Sembilan sebelum tahun 1773 (Jemputan Raja Melewar sebagai Raja di Negeri Sembilan

Kedudukan Luak Inas dalam peta Negeri Sembilan yang termaktub dalam perlembagaan negeri 1895 (Perjanjian menubuhkan persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan)

Ada juga sumber mengatakan Luak Johol dan Inas adalah berasaskan luak yang sama kerana jurai keturunannya dikatakan daripada salasilah yang sama. Malah pernah berlaku suatu ketika dahulu Undang Luak Johol juga merangkap penyandang pesaka Penghulu Luak Inas iaitu pada ketika Dato’ Rambutan Jantan (1790 - 1810) dan Dato’ Nuri (1810).

Menurut cerita orang-orang terdahulu, Luak Inas merupakan sebuah kuasa besar dan luas kawasannya sekiranya hendak dibandingkan dengan sekarang. Penduduk asalnya adalah daripada kalangan orang asli (Sakui) yang diketuai oleh seorang wanita bernama Dato’ Embun Seri I yang mentadbir Inas/Jelai dan Dato’ Siti Awan II yang memerintah Johol. Dato’ Embun Seri adalah pemerintah atau penghulu ‘Bergajah Tunggal’. Kekuasaannya mendapat pengiktirafan daripada Sultan Johor dan diakui sebagai luak berdaulat dalam tahun 1760. Sewaktu Dato’ Bayan menjadi penghulu Luak Inas, beliau dikurniakan cop mohor kekuasaan yang membawa gelaran Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walat Kuala Dioh.

Sehinggalah pada tahun 1773, Penghulu Dato’ Bayan telah melakukan kesilapan apabila menyebabkan kedudukan Inas menjadi tidak setanding dengan Luak Johol. Ia berlaku apabila Penghulu Dato’ Bayan memberi mandat kepada Dato’ Siti Awan II (Undang Luak Johol ke-3) dalam urusan untuk menjemput raja dari Minangkabau iaitu Raja Melewar untuk dirajakan di Negeri Sembilan. Beliau memberikan sepenuh kepercayaan dan mewakilkan kuasanya kepada Undang Johol, Dato’ Siti Awan II (juga ada yang menyebut Dato’ Setiawan II) sebagai menandakan Penghulu Luak Inas juga menyertai persetujuan menjemput anak Raja dari Pagar Ruyung itu.

Walaubagaimanapun, Datuk-Datuk Lembaga Luak Inas kurang senang dan tidak bersetuju atas langkah yang diambil oleh Penghulu Bayan, mereka menganggap itu sebagai penyerahan kuasa kepada Datuk Setiawan II akan tetapi kedudukan Penghulu Dato; Bayan tetap kukuh pada ketika itu dan beliau tidak dapat dipecat.

Pembesar-pembesar dari kelompok Dato’ Penghulu Luak Inas

Apabila Penghulu Bayan meninggal dunia,perbalahan orang-orang Inas tercetus kerana hendak memilh gantinya,perbalahan ini berlarutan dan tidak dapat kata sepakat. Maka dalam perbalahan ini Datuk Rambutan Jantan, Undang Johol ke-4 menyalurkan pengaruhnya dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan perbalahan itu. Cadangan itu telah diterima oleh orang-orang Inas bahawa Dato’ Rambutan Jantan, Undang Johol juga berkuasa di Inas sebagai Penghulu Luak Inas pada masa itu.

Selepas Dato’ Rambutan Jantan digantikan oleh Dato’ Nuri sebagai Undang Johol merangkap Datuk Penghulu Luak Inas barulah dapat dilantik Penghulu Luak Inas dari waris Inas iaitu Penghulu Mantik. Semenjak itu kekuasaan yang ada Penghulu Dato’ Embun Seri dahulu tidak lagi seperti dahulu dan taraf Penghulu Luak Inas serta Luaknya dimasukan dibawah kekuasaan Lingkungan Tanah Mengandung. Bagaimanapun kekuasaan dan pentadbiran Datuk Penghulu Luak Inas dapat mengekalkan kedudukannya hingga ke hari ini bersama Datuk Lembaganya dengan menerima Lemak Tanah atau ‘Political Pensions’ dari kerajaan.

Penghulu Luak Inas Yang ke-16, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh Mohammad Ariff b. Sidek

Susun tadbirnya diketuai oleh Datuk Penghulu mentadbir Luak, Datuk Lembaga mentadbir suku,Buapak mentadbir anak buahnya, Juak-juak Hulubalang mentadbirkan keamanan dan Pegawai masjid mentadbirkan yang bersangkut paut dengan hal ehwal Agama Islam.

Sumber - Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram: Luak Tanah Mengandung; Sejarah Ringkas Luak Inas (oleh Dato’ Alias bin Iban, Dato’ Bentara Jantan Luak Inas); kampunginas.blogspot.my; Foto perkongsian Facebook dari Tuan Ghazali Yasin, Ahmad Kamarulzaman Zainal Abidin.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.