TAMPIN, 9 Dis – Seorang lelaki berbogel di sekitar jalan masuk ke Pekan Tampin dan gambarnya menjadi tular di media sosial sejak Khamis lalu, bukan rakyat tempatan.
Lelaki itu berkeliaran berhampiran jalan, stesen minyak dan kedai makan tanpa seurat benang pada kira-kira jam 7.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Bakar Osman berkata, polis menerima aduan daripada orang awam mengenai perlakuan lelaki terbabit dan segera ke lokasi kejadian.
“Tiada sebarang identiti diri ditemui pada lelaki berkenaan. Bagaimanapun dia menyatakan dari Bangladesh.
“Oleh itu, kita menghantarnya ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, bersama-sama pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini hari ini.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (9 DISEMBER 2017)







