PORT DICKSON, 14 Dis - Kira-kira 300 pengunjung hadir untuk menyaksikan pancuran meteor ‘geminids’ di perkarangan Balai Cerap Teluk Kemang (BCTK), di sini sejak 8 malam semalam sehingga awal pagi ini.
Orang ramai berkumpul sejak dari jam 11 malam untuk menyaksikan fenomena pancuran meteor geminids di Perkarangan Balai Cerap Teluk Kemang malam tadi. - Foto Bernama
Penolong Pengurus BCTK Muzamir Mazlan berkata fenomena tersebut berlaku setiap tahun pada pertengahan bulan Disember dan pancuran meteor itu dapat dilihat hanya menggunakan mata kasar tanpa menggunakan teleskop.
Beliau berkata pencahayaan di perkarangan BCTK dan juga kawasan sekitar ditutup oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson pada malam tadi supaya pancuran meteor ini dapat dilihat dengan lebih jelas dan terang tanpa pencemaran cahaya.
“Lokasi yang sesuai untuk melihat ialah di BCTK ini kerana kami ada kemudahan untuk menutup semua lampu di sekitar kawasan ini dan kami juga mendapat kerjasama pihak Lexis Hibiscus supaya menutup lampu limpah yang menghala ke atas.
“Kerjasama yang sangat baik daripada pihak MPPD dan juga Lexis Hibiscus ini amat kami hargai ini adalah semata-mata untuk memupuk minat orang ramai dalam bidang astronomi di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Muzamir berkata pancuran meteor kali ini juga sangat sesuai dilihat kerana pada malam ini cahaya bulan sangat kurang disebabkan bulan sabit ataupun dipanggil bulan tua.
Beliau berkata pada malam ini juga turut diadakan pertandingan foto pancuran meteor tersebut dengan yuran RM10 yang menawarkan pemenang tempat pertama wang tunai RM300 manakala tempat kedua hingga kelima RM50.
Sementara itu, pelajar Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi Nur Ain Shuhada, 17, berkata ini merupakan pengalamannya yang kedua melihat fenomena angkasa lepas yang sebelum ini berpeluang menyaksikan planet menggunakan teleskop di BCTK.
“Pada awal tahun ini, saya berpeluang untuk melihat planet-planet di angkasa lepas dan saya tertarik untuk melihat pancuran meteor ini pula kerana minat saya melihat ciptaan Allah,” katanya.
Beliau merupakan anak kedua daripada tiga beradik ini berkata bahawa beliau berasa sangat tenang apabila melihat kejadian alam dan ini membuatkan beliau semakin dekat dengan tuhan.
Bagi Wai Loon Mah, 29, berkata fenomena pancuran meteor ini merupakan pengalamannya yang pertama dan beliau sangat teruja untuk melihat kejadian ini lebih-lebih lagi boleh dilihat hanya dengan mata kasar.
“Saya mengetahui fenomena pancuran meteor ini melalui internet dan saya mengambil peluang untuk datang ke sini dari Kuala Lumpur bersama isteri dan tidak menyangka bahawa sambutan sangat menggalakkan,” katanya.
Wai tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto pancuran meteor itu dan berkata ini adalah antara karyanya yang menarik kerana ia merupakan pengalamannya yang pertama mengambil foto fenomena tersebut.
Video dari Bernama
SUMBER - Petikan berita daripada Bernama (14 DISEMBER 2017)
Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com
Orang Nogori









