Acara olahraga kategori heptatlon wanita menyaksikan wakil negara, Norliyana Kamaruddin, berjaya mencipta rekod kebangsaan selepas meraih 5,247 mata dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Beliau telah berjaya mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang oleh Dato Hjh Zaiton Othman yang meraih 5,175 mata dalam saingan Sukan SEA Manila pada tahun 1981.
Bagaimanapun, selepas melakukan penampilan sulung dalam Sukan SEA 2007 di Korat, akhirnya Norliyana berjaya memecahkan rekod berusia 36 tahun itu walaupun terlepas peluang untuk meraih sebarang pingat selepas sekadar menduduki tempat keempat keseluruhan.
Norliyana menamatkan saingan di belakang pemenang emas, Sunisa Khotseemueang dari Thailand dengan jumlah 5,430 mata, Emilia Nova dari Indonesia dengan 5,386 mata dan Wassana Winatho juga dari Thailand dengan 5,288 mata.
Sedutan video acara Heptathlon yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil
Acara Heptathlon adalah acara yang menggabungkan tujuh disiplin iaitu 100 meter lari berpagar, 200 meter, 800 meter, lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru dan merejam lembing.
Latarbelakang & Pencapaian Norliyana Dalam Heptathlon
Norliyana yang berasal dari Palong, Negeri Sembilan sebelum ini pernah beraksi mewakili negara dalam acara lompat tinggi di Sukan Sea Korat 2007 di Thailand, namun bertukar ke acara heptathlon pada 2012 selepas prestasinya kurang menyerlah.
Antara pencapaian atlet berusia 26 tahun dalam acara heptathlon adalah memenangi pingat emas di Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014, Terbuka Malaysia 2016, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2016 dan Terbuka Filipina.
Sumber - stadiumastro.com (25 Ogos 2017); Berita Harian (26 April 2026)











