REMBAU, 24 Dis – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Tampin selepas ditemui di dasar kolam di Sukabumi Kendong, di sini, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa, Muhammad Hafizan Ishak berasal dari Kota Tinggi, Johor, ditemui oleh bapa saudaranya, Ridzuan Ithnin, 30.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Ibrahim Sharif, ketika kejadian, keluarga mangsa sedang mandi manda di kolam berkenaan dan mulai mencari mangsa yang tiba-tiba tiada di kawasan kolam berkenaan.
“Keluarga mangsa cuba mencari mangsa sehingga menemui mangsa di dasar kolam dalam keadaan yang lemah. Keluarga mangsa memberikan bantuan CPR (pernafasan resusitasi kardiopulmonari) sehingga pasukan paramedik tiba di lokasi.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tampin dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Sementara itu, Ibrahim berkata, bedah siasat di buat di Hospital Tampin kira-kira jam 9.00 pagi tadi.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (24 DISEMBER 2017)







