Kenali Jelebu Di Negeri Sembilan

Share on Facebook
Tweet on Twitter

Jelebu merupakan salah sebuah daerah di Negeri Sembilan yang terdiri daripada lapan mukim, iaitu Kuala Klawang, Hulu Triang, Kenaboi, Pertang, Peradong, Hilir Triang dan Gelami Lemi. Jelebu merupakan daerah ke-2 terbesar selepas Jempol. Keadaan muka bumi di Jelebu kebanyakannya berbukit bukau terutama dikawasan sebelah utara yang merupakan unjuran penghujung Banjaran Titiwangsa.

Ramai yang melalui Jelebu tercari-cari dimanakah bandar Jelebu. Sebenarnya bandar Jelebu itu adalah di Kuala Klawang itu sendiri kerana Jelebu adalah nama daerah manakala pusat bandar bagi dearah Jelebu adalah Kuala Klawang. Untuk mengelakkan kekeliruan ini terutamanya orang luar, kebanyakkan papan tanda yang menghala ke Jelebu akan tertulis ‘Kuala Klawang (Jelebu)’.

Ketika itu kawasan Jelebu dikenali sebagai Sungai Lumut dan kemunculan nama Jelebu tidak dapat dipastikan. Walabagaimanapun menurut cerita orang-orang tua yang diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi, kisah mengenai seorang Tok Batin yang telah membuka sebuah ladang labu dan tanaman labunya cukup subur sehingga akar labunya menjalar ke Ulu Klawang. Kerana kesuburan labu Tok Batin itu, maka ramai orang datang ke ladang labu Tok Batin tersebut.Mereka menamakan tempat itu sebagai ‘Jalar Labu’ sehingga lama-kelamaan bertukar menjadi Jelebu.

Sejarah pembukaan Jelebu berkait rapat dengan kedatangan orang Minangkabau yang terawal ke Semenanjung Malaysia. Pada asalnya Jelebu didiami oleh kaum orang asli keturunan Temuan dari suku Biduanda. Kisah bermula apabila Batin Terjali anak kepada Maharaja Alif yang memerintah kerajaan Pagar Ruyung, Minangkabau, pergi mengembara untuk mencari pengalaman dan meluaskan lagi pemerintahan ayah baginda. Setelah jauh mengembara Batin Terjali dan pengikut-pengikutnya sampai di Bukit Kundik di Jelebu. Kedatangan mereka disambut baik oleh orang-orang asli di kawasan tersebut.

Semasa di Jelebu, isteri Batin Terjali iaitu Puteri Embong Sari melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama Datok Niko Menteri Mangku Alam Raja Sehari. Sebelum meninggalkan Jelebu untuk meneruskan pengembarannya, Batin Terjali telah mewariskan putera baginda kepada ketua suku orang asli supaya menjaga puteranya dan apabila besar kelak hendaklah dijadikan penghulu Jelebu. Ketua orang asli itu bersetuju dan berjanji akan patuh dengan apa yang telah diperintahkan.

Ketua orang asli telah menepati janjinya dan Datok Niko Menteri Shah Maku Alam Raja Sehari dilantik menjadi penghulu Jelebu. Maka wujudlah pemerintahan putera Batin Terjali dan hubungan antara orang Minangkabau dan orang asli pun terjalin dan sejak itulah orang Minangkabau mula berhijrah ke Jelebu. Dalam senarai daftar nama penghulu di Jelebu, orang pertama dicatat namanya sebagai penghulu Jelebu ialah Datok Gombak, kemudian Datok Metunggang dan diikuti oleh Datok Moyang Salleh.

Datok Moyang Salleh merupakan Datuk Undang Luak Jelebu yang pertama dengan memakai gelaran Datok Mendelika Menteri Akhirul Zaman Sultan Jelebu. Gelaran itu dikurniakan oleh Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Jalil semasa berlakunya peristiwa memutus tali ke Johor. Walau bagaimana pun Datok Moyang Salleh tidak melantik dirinya sebagai Sultan Jelebu dan beliau hanya menjadi Undang Luak Jelebu sahaja.

Pada mulanya Jelebu berada di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Melaka tetapi apabila Sultan Melaka berpindah ke Johor maka taat setia orang Jelebu beralih ke Johor. Cuma setelah berlakunya peristiwa “Moyang Salleh Memutus Tali Ke Johor” barulah Jelebu bebas dari kekuasaan Johor.

Suatu ketika dulu mungkin Jelebu sinomim sebagai kawasan yang sukar dikunjungi, jalannya berliku-liku seperti di Cameron Highlands. Namun kini Jelebu telah menjadi jalan pintas ke beberapa kawasan di Batu Kikir, Bahau dan Gemas. Jalan berliku pun telah tiada lagi. Jalan-jalan yang berbentuk U telah diluruskan memendekkan perjalanan likuan dari 15 km kepada 8 km sahaja.

Selain melalui Bukit Tangga dari arah Seremban, Jelebu boleh dimasuki melalui Segenting Pras yang boleh keluar di Ampang, Hulu Langat, dan melalui Kuala Pilah terus ke Batu Kikir dan seterusnya ke Simpang Pertang.

Di dalam buku sekolah geografi tempatan, Jelebu dikenali sebagai tempat paling kering di Malaysia. Ini kerana ia berada di penghujung Banjaran Titiwangsa di mana udara terhalang menghampirinya, namun jika berlaku hujan monsun, Jelebu paling lambat kering kerana ia seolah-olah berada dalam kawasan lembah.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.