Kisah Usahawan Produk Sendayu Tinggi Dari Gemas

Share on Facebook
Tweet on Twitter

Rozita Ibrahim bukanlah seorang yang cerdik pandai dan berkelulusan tinggi tahap cendiakawan atau pakar Profesional dalam sesuatu bidang. Jauh sekali diri beliau mempunyai sebarang pengiktirafan pendidikan. Tetapi bersandarkan usaha gigih dan pengalaman yang ada pada beliau, sehingga berjaya menjadi seorang jutawan produk kecantikan terkenal di negara ini.

Puan Rozita Ibrahim yang merupakan ibu kepada pengasas peroduk kesihatan terkenal dengan tagline-nya ‘Terlajak Laris’, Datuk Aliff Syukri dilahirkan Sungai Besar, Selangor tetapi dibesarkan di Gemas, Negeri Sembilan. Beliau yang merupakan anak sulung dari enam adik-beradik adalah anak kepada pasangan guru agama dan suri rumah.

Beliau menamatkan zaman gadisnya pada usia 18 tahun tetapi jodoh tidak panjang. Perceraian itu menyebabkan beliau dipulaukan oleh keluarga. Dengan status ibu tunggal dan tidak berpelajaran tinggi, Puan Rozita Ibrahim gigih membesarkan anak-anaknya.

Sebelum beliau bergelar jutawan pada hari ini, anaknya pernah diberi minum sirap bagi menggantikan susu seawal usia 3 bulan dan membeli baju lelong berharga RM0.50 setiap satu sebagai baju raya anak-anaknya. Ia tidak berhenti setakat itu sahaja apabila salah seorang anaknya meninggal dunia berikutan ketiada wang untuk mendapatkan rawatan terbaik bagi menyembuhkan anaknya.

Kehidupannya yang susah itu telah membentuk jati diri yang kuat di dalam diri Puan Rozita Ibrahim. Pengalaman bekerja sebagai penoreh getah yang keluar menoreh seawal 1 pagi, bekerja di kilang, menjadi penyambut tetamu dan eksekutif promosi dan pemasaran serta menjalankan perniagaan jualan langsung telah memberikan pengajaran yang bermakna dalam membentuk empayarnya.

Puan Rozita Ibrahim menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual surat khabar, majalah dan nasi lemak dengan menggunakan motosikal. Setelah itu, beliau menggandaikan barang kemasnya untuk memulakan perniagaan herba dengan modal RM400. Herba-herba itu dijual secara terus atau direct selling dari rumah ke rumah.

Bagi meyakinkan para pelanggannya, Puan Rozita Ibrahim sendiri yang mencuba produk herba itu dan menjadi testimoni pertama produknya. Beliau sanggup menggemukkan badan sebanyak 3 kali dan memakan produk herba tersebut sehingga memberikan hasil yang memuaskan. Sambutan yang menggalakkan telah mendorong beliau untuk menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise dan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.

Hari ini Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd sudah mempunyai 9 buah anak syarikat yang sangat membanggakan dan salah satu daripadanya adalah Jamu Ratu Malaya. Syarikatnya juga kini mampu memiliki bangunan serta kilang pemprosesan herba yang tersendiri selain mempunyai lebih 2,000 orang pengedar di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura, Jepun, China, Taiwan dan Korea.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.