Busana Adat Warisan Minang, Bundo Kanduang

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan gelaran negeri Minang memandangkan perkaitan sejarahnya dengan Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Pengaruh Minangkabau di Negeri Sembilan dapat diperhatikan terutamanya pada busana tradisional yang unik dan menarik yang dikenakan kepada wanita minang di Negeri Sembilan.

Busana Adat Minangkabau

Keunikan pakaian tradisional Minang ini terletak pada hiasan kepala wanita minang yang dipanggil Tengkolok Tanduk. Tengkolok tanduk seperti tandu kerbau ini merupakan simbol atau lambang masyarakat Minang khususnya di Negeri Sembilan. Tanduk kerbau sememangnya mempunyai hubungan erat dengan nama minangkabau dimana ia berkisar mengenai peristiwa ‘Menang Kerbau’.

Wanita Minangkabau di Indonesia menggelarnya sebagai pakaian adat Bundo Kanduang (Bonda Kandung). Istilah Bundo Kanduang ini merujuk kepada wanita Minangkabau yang telah terpilih dikalangan kaumnya. Mereka merupakan seorang yang dihormati dan kebijaksanaan mereka akan menentukan kualiti suku kaumnya. Denagan ciri-ciri seorang bonda kandung itu, maka pakaian yang digunakan adalah sepasang baju kurung khas. Ia akan dipakai dalam upacara adat istiadat.

Baju ini merupakan sepersalinan baju kurung khas yang diperbuat daripada kain beludru bersulam benang emas. Kain songket tenun negeri Pandai Sikek digunakan sebagai kain sarung kodeknya. Manakala hiasan kepala atau penutup kepala bonda kandung adalah tengkeluak (tengkolok) atau selendang yang diperbuat daripada bahan yang sama dengan songketnya.

SEJARAH PAKAIAN TRADISIONAL MINANG

Berdasarkan sejarah, pakaian telah dikenakan kepada manusia sejak zaman neolitik lagi. Mereka menggunakan kulit kayu yang diketuk dengan alat batu sehingga lembut dan kemudian dijadikan pakaian.

Bagaimanapun ia terus berubah seiring dengan peradaban setelah benag telah mula dikenalkan. Dengan itu lahirlah pelbagai jenis pakaian pada ketika itu termasuklah pakaian tradisional Melayu yang lengkap.

Pakaian memainkan peranan penting dalam menentukan identiti dan budaya. Pada abad ke-16, pakaian melayu terus berkembang termasuklah di istana kerajaan Melayu Melaka pada zaman kegemilangannya. Daripada itu, ia terus berkembang di merata tempat tidak hanya di semenanjung tanah Melayu, Sumatera sahaja malah terus merebak ke Brunei dan Sulawesi.

Hasilnya menemukan persamaan dari segi reka bentuk pakaian wilayah budaya Melayu seperti baju kurung Palembang, baju kurung Melayu-Brunei dan baju kurung Minangkabau yang turut dikenali sebagai Baju Teluk Belanga (Syalinar Udin, 2004).

Pakaian Minang yang terkenal di Negeri Sembilan ini berasal dari Minangkabau yang terletak di Sumatera, Indonesia. Pengaruh busana ini meresap melalui penghijrahan orang Minang dari Pagar Ruyung pada abad ke-15 ketika zaman kesultanan Melayu Melaka lagi.

Pada kebiasaanya, wanita Minang akan mengenakan pakaian tradisi yang terkenal dengan penggunaan tengkolok tanduk kerbau diatas kepala yang menjadi simbol hiasan kepala masyakarat minang. Pakaian bangsawan pula biasanya diperbuat dari kain jenis baldu bersulam benang emas bertahtahkan labuci.

Manakala bagi golongan lelaki pula, mereka akan menggunakan pakaian yang menyerupai Baju Sikap yang dipakai sebagai sut berlima yang mengandungi jaket sederhana labuh yang dipandankan dengan samping dan tengkolok.

Busana perkahwinan adat minang

MAKNA DISEBALIK REKA BENTUK BUSANA BONDA KANDUANG

Disebalik busana adat wanita dibahagikan kepada 4 bahagaian iaitu:
1. Bahagian Atas: Terdiri daripada tengkolok dengan bentuk seperti tandung yang runcing dihujungnya. Ia juga dikenali sebagai tengkolok ikek iaitu cara lilitan di kepala. Dari bentuk itu ia membawa maksud si pemakainya adalah seorang bundo kanduang. Hujung tanduknay meruncing ke atas.

2. Bahagian Tengah: Terdiri daripada baju kurung yang longgar dan labuh paras lutut. lengan bajunya pula adalah senteng separas dengan lengan sahaja. Warna hitam, hijau dan merah adalah yang biasa menjadi pilihan. Kebiasaannya ia diperbuat daripada kain baldu disertai dengan sulaman dan renda. Bahagaian tengah ini juga dilengkapi dengan selendang yang dipakai di bahu kanan. Makna disebalik selendang ini adalah bonda kanduang mempunyai tanggungjawab dalam melanjutkan keturunannya.

3. Bahagian Bawah: Dilengkapi dengan kain sarung yang dikenali sebagai kain lambak ampek. Terdapat 2 kategori kain lambak iaitu tenun songket balapak, batabua serta babintang dan kain bersulam atau barhias lapisan kain. Motif bunda dan pucuk rebung adalah antara motif yang kerap digunakan. Makna disebalik ambak ampek adalah simbol kebijaksanaan seseorang bonda kandung. Kebijaksanaan yang dimaksudkan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

4. Perhaiasan. Perhiasan yang digunakan bundo kanduang adalah kalung dari sembilan bentuk. Ia diperbuat daripada emas atau batu alam.

Busana adat minang juga berbeza rupa bentuknya mengikut daerah Minangkabau di Sumatera, Indonesia

Busana adat wanita Minang ini mempunyai keiswimewaan yang unik dan menarik. Ia memperlihatkan status bundo kanduang di dalam suku kaumnya. Ini kerana setiap persalinan yang dipakainya mempunyai maknanya yang tersendiri serta menjadi simbol menggambarkan kewibawaan bonda kandung dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Pemeliharaan busana adat wanita Minang ini dapat menyumbang kepada khazanah warisan Melayu.

Sumber - MAKNA REKA BENTUK BUSANA ADAT WARISAN MINANG (Salina bt Abdul Manan, Hamdzun Haron, Zuliskandar Ramli, Noor Hafiza Ismail, Azni Hanim Hamzah; 2014)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.