Kisah Misteri Dulang Makanan Penuh Di Masjid Tertua Di Tanah Jelebu

Terletak kira-kira lima kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, Kampung Peninjau nyata tidak jauh berbeza dengan suasana kampung lain di negara ini. Malah, kampung yang mempunyai bilangan penduduk seramai 400 orang, berjiran dengan Kampung Ulu Jelebu, Kampung Bukit, Jelebu Tengah itu, juga tidak ketinggalan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan berturap.

masjid kuala dulang

Istimewanya kampung yang dikepung oleh dua bukit iaitu Bukit Air di kanan dan Bukit Peninjau di kiri ialah wujudnya sebuah masjid tertua di daerah Jelebu ini. Masjid itu diasaskan oleh Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja, pendakwah dari Minangkabau pada awal abad ke-16, yang juga menandakan kedatangan awal Islam ke daerah berkenaan. Kedua-duanya dikatakan meneroka perkampungan itu yang kemudian dinamakan Kampung Peninjau dan masjid itu pula pada asalnya sebuah bangsal beratap ijuk yang menjadi tempat pendakwah itu beribadat.

Istimewanya, pembinaan dan struktur asal masjid itu ialah tidak menggunakan paku sebaliknya dipasak. Masjid Kuala Dulang mendapat namanya dipercayai daripada satu peristiwa yang berlaku di masjid berkenaan apabila ada sebuah dulang aneh yang sentiasa berisi makanan untuk semua jemaah. Siapa menyediakan dulang berisi makanan berkenaan tidak diketahui dan peristiwa itu berterusan sehinggalah dulang aneh itu ghaib secara tiba-tiba. Malah, mitos mengenainya masih diperkatakan sehingga sekarang.

masjid kuala dulang

Menurut Siak masjid berkenaan, Abdul Aziz Samah, 71, mengakui cerita mengenai dulang itu dikatakan memang benar berlaku menerusi beberapa versi cerita disampaikan oleh beberapa penduduk awal yang menduduki kawasan berkenaan. Dia yang mula menduduki kampung berkenaan pada 1953 dan sudah berkhidmat sebagai siak di masjid itu sejak 15 tahun lalu berkata. Mengikut cerita, dulang aneh itu wujud ketika jemaah selesai menunaikan sembahyang zuhur ketika masjid itu mula dibuka.

Apabila selesai berjemaah, dikatakan ada di kalangan jemaah yang menyatakan lapar sebelum tiba-tiba mereka ternampak sebuah dulang di atas busut besar terletak di tengah-tengah sawah berdekatan masjid dan di tepi busut itu pula ada pusar air. Seorang jemaah yang pergi mendapatkan dulang itu mendapati ia berisi makanan yang lengkap dengan nasi serta gulai dan selepas kejadian itu, setiap kali selepas waktu zuhur dulang itu sentiasa berisi makanan yang dinikmati jemaah.

Apa yang pelik disini sungguhpun seberapa ramai jemaah yang datang bersembahyang, makanan yang terdapat dalam dulang itu sentiasa mencukupi. Walaubagaimanapun, tiada siapa yang tahu siapa yang telah menyediakan makanan itu. Beliau juga pernah mendengar cerita dulang yang berisi makanan itu bukan saja disediakan selepas zuhur malah musafir yang singgah beribadat di masjid berkenaan turut merasai makanan dalam dulang berkenaan apabila mereka memintanya.

Bagaimanapun, dulang makanan itu dikatakan ghaib sejak 300 tahun lalu selepas seorang jemaah tidak memegangnya dengan betul lalu terhempas dan pecah ketika satu majlis jamuan diadakan. Sejak itu, tiada lagi dulang yang berisi makanan untuk dinikmati jemaah sebaik selesai mengerjakan sembahyang zuhur. Namun, cerita mengenai dulang aneh itu masih diperkatakan hingga sekarang.

Menurut Abdul Aziz lagi sebenarnya cerita mengenai dulang aneh itu sudah banyak diperkatakan hingga dilaporkan dalam media cetak dan elektronik, menyebabkan ramai orang luar datang beribadat di masjid berkenaan. Bukan saja penduduk tempatan malah orang luar dari Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang juga datang beribadat di masjid ini termasuk menunaikan solat hajat untuk mendapat petunjuk terutama dalam soal mencari jodoh dan menyelesaikan masalah dihadapi, katanya.

Beliau berkata, lima tahun lalu seorang wanita dari Pulau Pinang yang menghadapi masalah untuk melupakan teman lelakinya yang sudah beristeri selepas berkenalan selama dua tahun datang bernazar di masjid berkenaan. Selepas itu wanita berusia 37 tahun itu mampu melupakannya. Saya ada dihubungi wanita terbabit selepas dua tahun dia datang ke sini dan menyatakan dapat melupakan lelaki terbabit, katanya.

Ditanya mengenai perkara pelik lain yang pernah diceritakan di masjid berkenaan, beliau berkata, pernah berlaku dua kali banjir besar di kampung berkenaan iaitu sebelum merdeka dan pada 1970 tetapi masjid berkenaan tidak ditenggelami air. Ramai penduduk berasa hairan dengan keajaiban itu kerana masjid berkenaan terletak di tepi tebing sungai sedangkan semua rumah penduduk ditenggelami air hingga paras pinggang.

Berdasarkan orang alim dan ulama yang pernah mendengar keajaiban itu, mereka dapat melihat pelampung di bawah masjid berkenaan dan apabila banjir, pelampung itu akan menolaknya ke atas bagi mengelakkannya tenggelam.

masjid kuala dulang

masjid kuala dulang

masjid kuala dulang

masjid kuala dulang

masjid kuala dulang

masjid kuala dulang

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Jalaluddin Alias, berkata pihaknya tidak menghalang sesiapa termasuk orang luar datang beribadat di masjid berkenaan.”Kita akui cerita lama yang diperkatakan mengenai keistimewaan masjid berkenaan hingga menyebabkan ramai orang datang termasuk dari luar negeri ini yang singgah dan bermusafir di masjid ini. Setakat ini, tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti berbentuk khurafat di masjid dan kawasan sekitarnya, sebaliknya kebanyakan yang datang hanya untuk beribadat,” katanya.

Katanya, walaupun sudah tiga kali pengubahsuaian dijalankan hingga membolehkan masjid itu kini menampung 400 jemaah, struktur dan identitinya asalnya masih dikekalkan bagi menjadikannya sebagai tempat bersejarah. Tiang asal masjid berkenaan masih dikekalkan. Begitu juga dengan tabuh yang diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu untuk diketuk bagi memberitahu, masuk waktu sembahyang. Usia peralatan tabuh itu dikatakan sama dengan usia masjid iaitu pada abad ke-16 ketika masjid berkenaan dibina. – Sumber daripada Berita Harian, ontahsapo.blogspot.my

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.