Kes Dera: Nur Aina, Diseksa Ala Komando

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

PORT DICKSON, 5 Feb - Diseksa ala komando. Itu penderitaan dilalui Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, apabila mangsa dipercayai diperlakukan seolah-olah sebagai rekrut komando yang sebenar oleh bapa kandungnya.

Mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah yang meninggal dunia dengan kesan kecederaan di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban. - FOTO Berita Harian

Kanak-kanak malang berusia sembilan tahun terbabit dipercayai dipaksa melakukan tekan tubi, berguling, ‘sit up’ dan ketuk ketampi sebagai denda.

Mangsa turut dipukul, ditampar, disepak, dipijak kepala dan badan serta ditendang oleh bapa kandungnya berusia 35 tahun yang bekerja sebagai anggota tentera di sebuah kem, di sini.

Semua itu dilakukan suspek dipercayai hanya kerana anak perempuannya itu tidak membaca doa tidur, kesilapan ketika mengaji al-Quran dan tidak mendengar arahannya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek itu yang disyaki mendera mangsa sehingga mengakibatkan kematian.

Ditanya mengenai perbuatan kejam itu, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dilakukan.

Pada Jumaat lalu, polis merampas kerusi dan tali pinggang yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul Nur Aina sehingga meninggal dunia.

Selain itu, polis turut merampas seberkas air kononnya mengandungi air jampi yang digunakan suspek untuk ‘mengubati’ mangsa kerana degil dan tidak mendengar kata.

Sementara itu, seorang jiran yang tidak mahu dikenali berkata, ibu tiri mangsa pernah memberitahu suaminya ada membawa mangsa pulang ke Perak, untuk berubat pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak mengetahui mengenai air jampi itu dan terkejut apabila membaca laporan di akhbar.

“Sikap bapa mangsa ketika berada di luar rumah sangat berbeza kerana dia sangat peramah dan baik. Namun dia jarang ke surau berhampiran sebaliknya memaksa anaknya mengikut jiran ke surau.

“Apa yang dikesalkan apabila netizen tidak berhenti menyalahkan jiran sedangkan kami pernah bertanya mangsa mengenai lebam di mukanya tetapi mangsa memberitahu terjatuh. Lelaki itu juga memberitahu dia tidak pernah mencederakan anaknya,” katanya ketika ditemui.

[Berita sebelum: Kes Dera: Bapa Guna Air Jampi]

SUMBER - Petikan berita daripada Berita Harian Online (5 Februari 2018 | 4:19pm)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.