SEREMBAN, 26 Sept - Negeri Sembilan berjaya mempertahankan rekod cemerlangnya di gelanggang sendiri apabila menewaskan UiTM FC 1-0, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
Bagaimanapun, kemenangan yang dilakar itu tidak dapat membantu merealisasikan impian mereka untuk layak ke Liga Super musim depan, apabila dua pasukan pendahulu carta, Kuala Lumpur dan Terengganu, turut melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing dan layak beraksi di liga elit negara itu.
Pemain Negeri Sembilan, Nemanja Vidic (dua kanan) bersaing dengan pemain UiTM FC, Akanni Sunday Wasiu (dua dari kiri) dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi. - Foto Berita Harian
Perlawanan malam tadi menyaksikan jumlah penyokong tuan rumah paling sedikit iaitu 770 orang, seolah-olah menunjukkan rasa protes di atas kegagalan pasukan kesayangan itu merealisasikan sasaran layak ke Liga Super.
Sebaik perlawanan dimulakan, skuad Hobin Jang Hobin dilihat pantas mengatur gerak dan mendapatkan gol pertama pada minit keenam 6 menerusi Lee Andrew Tuck yang mudah menolak bola hantaran silang sebelah kiri bagi menewaskan penjaga gol UiTM FC, Muhammad Hanif Saied.
Jaringan itu nyata menyuntik semangat buat anak buah Mohd Asri Ninggal untuk memburu lebih banyak gol, namun jentera serangan yang diterajui Bruno Suzuki dan Jonathan Behe tidak begitu menjadi apabila beberapa peluang di depan pintu gol lawan, gagal dimanfaatkan.
Pemain Negeri Sembilan, Johathan Behe (kanan) bersaing dengan pemain UiTM FC, Onoriode Kughegbe dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi. - Foto Berita Harian
Malah dalam keghairahan melakukan asakan ke kubu lawan, pintu gol tuan rumah nyaris bolos pada minit ke-23, melalui serangan balas skuad bimbingan Wan Mustafa Wan Ismail tetapi sepakan deras Akanni Sunday Wasiu dari dalam kotak penalti dihalang pemain pertahanan walaupun penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abd Rahman sudah tertewas.
Pada minit ke-39, Behe mensesiakan peluang apabila gagal menanduk kemas hantaran silang Shahrul Igwan Samsudin untuk kedudukan 1-0 itu kekal di hujung separuh masa pertama.
Pemain Negeri Sembilan, Bruno Suzuki diasak pemain UiTM FC, Dechi Marcel N’guessan (kiri) dan Muhammad Ridzuan Azly Hussham (kanan) pada aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi. - Foto Berita Harian
Pelawat dilihat tampil lebih agresif sebaik bersambung babak kedua, malah berjaya mencipta banyak peluang, namun setiap percubaan ke arah pintu gol kerap tersasar.
Usaha Negeri Sembilan yang bekerja keras mencari gol tambahan, juga terus gagal dan akur dengan nasib bersaing di Liga Perdana musim depan, walau apa keputusan dalam perlawanan terakhir bertemu Sabah di gelanggang lawan, 20 Oktober depan.
Sumber - Berita Harian (26 September 2025 | 11:32pm)







