Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang baru telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan pada 5 Jun 2026 yang lalu. Dasar tersebut menetapkan 50% daripada pembangunan MESTI dibina Rumah Mampu Milik.
Komponen Rumah Mampu Milik itu terdiri daripada 15% rumah yang berharga RM80,000 ke bawah (Kategori A) manakala 15% lagi RM250,000 ke bawah (Kategori B) dan 20% untuk RM400,000 ke bawah (Kategori C). Manakala 50% selebihnya terpulang kepada pemaju untuk menawarkan perumahan mewah.
Rumah dari Ketegori A perlu dibina dalam bentuk kediaman bertanah dengan keluasan tidak kurang 900 kaki persegi.
Antara rumah mampu milik yang ditawarkan kepada pembeli di Portal Perumahan Negeri Sembilan.
Dalam masa yang sama pemilikan dan kuota Bumiputera ditetapkan pada paras minimum 50% berbanding 30% sebelum ini memandangkan 70% penduduk di negeri ini adalah Melayu dan Bumiputera.
Daripada peratusan tersebut, 30% daripada pembangunan perumahan ditetapkan sebagai Kuota Bumiputera manakala baki 20% adalah sebagai Lot Bumiputera Terbuka.
Diskaun harga akan diberikan kepada pembeli bumiputera bagi Rumah Kuota Bumiputera iaitu sebanyak 5% (Kuota Bumiputera) dan 10% (Lot Bumiputera Terbuka).
Menurut DS Mohamad Hasan, sungguhpun kuota 50% diletakkan dibawah pemilikan Bumiputera, kuota tersebut diletakkan dalam senarai boleh ubah. Ini kerana ada sesetengah kawasan tradisinya merupakan penduduk bukan Melayu, justeru ia boleh diberi kelonggaran untuk dilepaskan selepas melepasi beberapa peringkat yang ditetapkan kerajaan.
Dasar yang dipinda dan diperkanalkan ini merupakan dasar intervensi kerajaan supaya industri perumahan di Negeri Sembilan dapat ‘ditenangkan’ kerana isu perumahan itu termasuklah hal berkaitan harga telah menjadi perbualan rakyat kerana sudah berada di luar kemampuan untuk memilikinya.
“Tiga perkara telah diambil peringatan sebelum membuat dasar itu, iaitu kerajaan tidak mahu lagi melihat rakyat apabila balik ke rumah dan masuk tidur dengan perut yang kosong; keduanya kerajaan tidak mahu lagi melihat rakyat bersempit, tidak mampu memiliki rumah serta mengetepikan elemen ‘rumah mampu tengok kepada rumah mampu milik’.” - DS Mohamad Hasan.
Dasar itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan.
Selaras dengan dasar yang diperkenalkan sebuah Portal telah didirikan oleh kerajaan negeri bagi memudahkan urusan pembelian rumah oleh rakyat di Negeri Sembilan dengan pemaju. Bagi mereka yang berminat untuk memohon terutamanya rumah mampu milik bolehlah layari, https://perumahan.ns.gov.my/.
Caranya mudah hanya perlu mengikut langkah-langkah seperti berikut:
- Langkah 1 - Daftar akaun anda dengan mengisi permohanan berdasarkan arahan yang diberikan
- Langkah 2 - Tunggu email pengaktifan. Jika anda dapati email tersebut tiada dalam INBOX anda sila cari dalam SPAM
- Langkah 3 - Tunggu email pengaktifan. Jika anda dapati email tersebut tiada dalam INBOX anda sila cari dalam SPAM. Sekiranya hampir 24 jam masih tidak dapat email pengaktifan, sila buat aduan di dalam portal perumahan di bahagian aduan. (Masukan keterangan mengikut arahan.)
- Langkah 4 - Dapat email pengaktifan anda sudah boleh LOG MASUK & boleh isi keterangan yang diminta sehingga anda berjaya hantar permohonan anda
- Langkah 5 - Anda akan terima email dari Unit Perumahan NS mengatakan permohonan anda sudah diterima. Sekarang anda hanya perlu tunggu permohonan anda diluluskan.
Contoh borang permohonan yang perlu diisi oleh pemohon.
Untuk pengetahuan anda, bagi permohonan projek Perumahan Mampu Milik disyaratkan bagi mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,500 sebulan dan keutamaan diberikan kepada mereka yang masih belum memiliki rumah.
Dan sila ambil PERHATIAN, kerajaan negeri tidak melantik mana-mana ejen atau wakil untuk menjual mahupun membuat tempahan bagi perumahan jenis ini. Kerajaan juga tidak meminta deposit mahupun bayaran pendahuluan untuk sebarang permohonan.
Kami disini mendoakan proses permohonan rumah anda semua dipermudahkan kan. Insyallah
SUMBER - https://perumahan.ns.gov.my/ ; Utusan Online (06 Jun 2026 12:20 AM); Utusan Online (11 Ogos 2015 12:26 AM);












