
Seperti negeri-negeri Melayu yang lain, kekacauan di Negeri Sembilan mula berlaku di antara tahun 1860-an dan 1870-an. Sebab utama bermulanya kekacauan di Negeri Sembilan ialah peperangan yang berlaku di antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar di Sungai Ujong atas kepentingan lombong bijih timah. Kekacauan ini jugalah yang mendorong kepada campurtangan Inggeris di Negeri Sembilan.
Sungai Ujong (kini Seremban) adalah salah sebuah daerah daripada sembilan buah daerah di Negeri Sembilan. Ia sangat kaya dengan bijih timah. Bijih timah menjadi punca pertelingkahan antara pembesar-pembesar Melayu. Mereka cuba mengenakan cukai ke atas bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Ujong.
Peperangan telah berlaku di antara 2 orang pembesar iaitu Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman dan Dato’ Syahbandar Abdullah Tunggal. Punca perbalahan antara mereka ialah ke atas hak memungut cukai di kawasan perlombongan bijih timah. Kedua-dua pembesar itu telah mendirikan rumah tol untuk memungut cukai di sepanjang Sungai Linggi. Tindakan mereka menyebabkan saudagar-saudagar yang membawa bijih timah dari Sungai Linggi ke Melaka terpaksa membayar cukai kepada setiap rumah tol.
Permusuhan di antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar seterusnya menyebabkan perlombongan bijih timah terhenti dan perdagangan Negeri-negeri Selat dengan Sungai Ujong terancam. Malahan, kedudukan Dato’ Kelana terancam oleh Dato’ Bandar yang lebih berpengaruh di Sungai Ujong. Oleh itu, Dato’ Kelana meminta bantuan Inggeris untuk mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong. Sementara itu, saudagar-saudagar selat telah mengadu kepada Gabenor Sir Andrew Clarke tentang pengenaan cukai secara haram yang tidak menguntungkan mereka dan mendesak British supaya campur tangan di Sungai Ujong untuk melindungi kepentingan perdagangan mereka.
Pada bulan April 1874, Sir Andrew Clarke telah mengambil keputusan untuk memihak Dato’ Kelana. Beliau mengadakan satu mesyuarat dengan pembesar-pembesar di Singapura untuk mewujudkan pengaruh British dan menamatkan kekacauan di Sungai Ujong. Mesyuarat itu hanya dihadiri oleh Dato’ Kelana Abdul Rahman dan Dato’ Muda Linggi. Hasilnya, perjanjian ditandatangani di antara Dato’ Kelana dan Inggeris pada 21 April 1874. Melalui perjanjian ini:
- Dato’ Kelana diisytiharkan sebagai pemerintah yang sah di Sungai Ujong. Beliau berjanji memerintah Sungai Ujong dengan adil.
- Dato’ Kelana bersetuju memberi perlindungan kepada saudagar-saudagar British dan mengenakan cukai yang berpatutan.
- Dato’ Kelana bersetuju juga menjaga kepentingan British di Sungai Ujong.
Dato’ Bandar membantah keras terhadap campur tangan British di Sungai Ujong dan enggan menerima perjanjian tersebut kerana beliau disisihkan daripada sebarang kuasa di Sungai Ujong. Seterusnya, Dato’ Bandar mencabar kekuasaan British.
Dato’ Kelana Abdul Rahman berasa bimbang akan keselamatan dan meminta perlindungan daripada Kerajaan British. Pada bulan Ogos 1874, Sir Andrew Clarke menghantar W.A. Pickering bersama satu pasukan tentera untuk melindungi Dato’ Kelana dan menjaga kepentingan perdagangan British di sana. Namun, pada 10 Oktober 1874, bendera British telah dinaikkan di sisi rumah Datuk Kelana di Ampangan dan tembakan meriam sebanyak 21 kali das tembakan dilepaskan bagi menghormati hari kenaikan bendera tersebut.
Dalam pertempuran yang meletus di antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar pada bulan November 1874, Dato’ Kelana berjaya menewaskan Dato’ Bandar dengan bantuan angkatan tentera British. Dato’ Bandar terpaksa berundur ke Kepayang.
Kedudukan Dato’ Kelana sebagai ketua Sungai Ujong terjamin dan British berpeluang meluaskan kuasanya dengan melantik seorang Penolong Residen, iaitu Kapten W.I. Thatham. Dato’ Bandar menandatangani satu perjanjian pada 16 Disember 1874 dan berjanji tidak akan campur tangan dalam hal-ehwal Sungai Ujong dan mengakui Dato’ Kelana adalah pemerintah Sungai Ujong.
Selain itu, kekacauan juga berlaku di Sri Menanti, Rembau dan Jelebu. Kekacauan ini seterusnya mendorong British campur tangan sehingga akhirnya Negeri Sembilan diwujudkan atas penyatuan wilayah-wilayah tersebut. - Sumber cikgurazak.blogspot.my
Artikel berkaitan:
Sejarah Awal Seremban
















