Berang Kereta Kena Himpit, Lelaki Nekad Bakar Lori

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

JEMPOL, 5 Feb - Berang kereta yang dipandu dihimpit lori, lelaki nekad membakar lori berkenaan di Jalan Tembangau-Bahau, Jempol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, suspek lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Tembangau, Jempol dengan memandu kereta.

Katanya, setibanya di lokasi lori dari arah bertentangan menghimpit kenderaan suspek menyebabkan ia terbabas ke tepi jalan.

“Suspek berpatah balik dan mengejar lori itu sejauh 10 kilometer hingga ke ladang di Pelanting Jernih, Ayer Hitam. Dia memarahi pemandu lori yang juga pengawal keselamatan berusia 22 tahun,” katanya.

Mud Nur Hishamuddin berkata, tidak semena-mena suspek menyerang mangsa menggunakan sebatang besi.

“Akibat ketakutan, mangsa melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya di tepi jalan. Suspek datang semula 10 minit kemudian dan membawa sebilah parang beserta sebotol petrol,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu membakar lori berkenaan sebelum meninggalkan lokasi.

“Pihak kami menerima aduan dibuat mangsa di Balai Polis Ayer Hitam menjalankan pemburuan. Suspek dicekup di rumahnya 4 petang, pada hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu direman empat hari bermula semalam hingga Rabu ini mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Keadaan lori yang dibakar suspek kelmarin. - FOTO Berita Harian

SUMBER - Petikan berita daripada Harian Metro Online (5 Februari 2018 @ 2:45 PM)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.