2,000 Pelajar Bermalam Di Muzium, Cipta Malaysia Book Of Records

Share on Facebook
Tweet on Twitter

SEREMBAN, 25 Sept – Seramai 40 pelajar daripada Kolej Vokasional Dato’Lela Maharaja, Rembau berpeluang menyertai Program Perdana Bermalam Di Muzium di Muzium Negeri, Seremban anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan di sini, baru-baru ini.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik sepanjang program selama dua hari satu malam itu berlangsung, antaranya Latihan Dalam Kumpulan (LDK), slot keagamaan, persembahan kumpulan, senamrobik dan pertandingan permainan tradisional.

Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip berkata, tujuan utama program ini diadakan untuk menarik minat pelajar sentiasa berkunjung ke muzium.

Menurutnya, muzium juga boleh dijadikan sebagai pusat pembelajaran pelajar selain daripada pendidikan secara formal yang diterima di sekolah.

Peranan muzium bukan hanya sekadar untuk memulihara dan menyimpan khazanah warisan sejarah, budaya termasuk alam semula jadi menerusi pameran dan penyelidikan tetapi juga sebagai gedung ilmu pengetahuan.

Aziz (empat, kanan) kelihatan sedang menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta program. - Foto Sinar Harian Online

“Bagi pihak muzium ini bukanlah pertama dan terakhir program seumpama ini diadakan malahan akan berterusan dengan pelbagai program dan aktiviti untuk sentiasa mendekatkan diri pelajar dengan muzium.

“Di sini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi rasa penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau dan pelajar Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau.

“Diharapkan menerusi program ini, ia menanam rasa cinta dan sayang terhadap warisan yang terdapat di Negeri Sembilan selain menarik minat para pelajar untuk menceburi kerjaya dalam bidang permuziuman pada satu hari nanti,” katanya, di sini.

Kata beliau, pihaknya turut berhasrat untuk melibatkan pelajar sekolah di setiap daerah pada masa akan datang.

Program berkenaan berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records sebagai program pendidikan tidak formal teramai yang telah diadakan serentak di seluruh negara dengan disertai 36 buah muzium dengan penglibatan seramai 2,000 pelajar sekolah termasuk Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Sumber - Sinar Harian (25 September 2025)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.