Artis kelahiran Rembau, Negeri Sembilan, W.A.R.I.S atau nama sebenarnya Muzzammil Bin Alias melancarkan lagu single terbarunya yang bertajuk ‘This Is Pilah’ yang antara lain menceritakan tentang sejarah, pembangunan dan aktiviti rakyat di daerah Kuala Pilah.
WARIS - This Is Pilah (Official Lyric Video)
Lagu yang dinyanyikan W.A.R.I.S semasa Perlawanan Final Pesta Bola Merdeka Parlimen Kuala Pilah (Piala Datuk Seri Hasan Malik 2017) pada 26 Ogos 2017 lalu mendapat sokongan Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malik. Menurutnya lagu tersebut dapat menarik golongan muda untuk menghayatinya hingga mereka merasa lebih sayang akan kampung dan tempat kelahiran mereka. Beliau juga berharap lagu tersebut akan berkemundang bagi setiap majlis keramaian yang dianjurkan di Kuala Pilah secara informal.
Lagu ‘This is Pilah’ ini menceritakan asal usul daerah ini dari kepimpinan Yamtuan Besar sehinggalah kepada aktiviti masyarakat serta penggunaan loghat negeri beradat ini secara 100 peratus.
Datuk Seri Hasan Malik merasmikan pelancaran Lagu ‘This Is Pilah’
W.A.R.I.S mempersembahkan lagu ‘This Is Pilah’
Filem This Is Pilah
Sementara itu sebuah filem komedi romantik berlatarbelakangkan Adat Perpatih berjudul This Is Pilah bakal menemui penonton di seluruh negara awal tahun depan.
Filem terbitan Madness Films Sdn. Bhd. (Madness Films) arahan Rosdi Md. Dali itu akan turut menampilkan beliau selaku pelakon jemputan.
Pengasas Madness Films, Shafirul Nizam Haron berkata, filem yang menelan belanja hampir RM1 juta dan menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan itu akan memulakan pengambaran pada bulan depan.
Filem This Is Pilah turut mendapat kerjasa daripada Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah
Memorandum Persefahaman Untuk Filem This Is Pilah
Dikatakan Pelakon lelaki utama ialah penyanyi rap tempatan, Juzzthin, manakala pelakon utama wanita masih `misteri’. Filem ini akan turut dibintangi artis lain berasal dari Negeri Sembilan antaranya W.A.R.I.S dan Ito. Dalam masa yang sama, mereka juga sedang berunding untuk mendapatkan kartunis Ujang dan Syamsul Debat berlakon filem ini.
Lagu ‘This Is Pilah’ pula akan menjadi album soundtrack filem This Is Filem terbitan Madness Films.
Filem This Is Pilah berkisar tentang hasrat seorang pemuda di Kuala Pilah mahu berkahwin dengan gadis idamannya, namun dihalang bapa wanita berkenaan kerana kedua-dua mereka berasal daripada suku yang sama.
Menurut Shafirul Nizam, beliau melakukan kajian mendalam tentang Adat Perpatih sebelum menjalankan pengambaran dan melantik Undang Johol, Datuk Muhammad Abdullah sebagai penasihat.
Dalam pada itu, beliau menyatakan hasrat untuk menjemput Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk berlakon filem berkenaan.
Pelawaan tersebut mendapat reaksi positif daripada Datuk Hasan Malik. Beliau menyambut baik penerbitan filem itu kerana secara tidak langsung mempromosikan Kuala Pilah dan keunikan Adat Perpatih Negeri Sembilan.
“Jika penerbit fikir saya sesuai untuk berlakon dalam filem ini, saya akan cuba berikan yang terbaik untuk Kuala Pilah,” katanya.
Sumber - Kosmo Online (27 Ogos 2017); Bernama (27 Ogos 2017)








