Taman Rekreasi Jalan Bukit Dicemari Longgokan Sampah

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

KUALA PILAH, 25 Jan – Pengunjung di Taman Rekreasi Jalan Bukit melahirkan rasa kecewa berikutan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang membuang sampah dan mencemarkan kawasan persekitaran tumpuan awam itu.

(Gambar Atas) Longgokan sampah ditemui di Taman Rekreasi Jalan Bukit - Foto Sinar Harian

Mohd Ali Ismail, 45, berkata, setiap petang pada cuti hujung minggu dia akan beriadah di kawasan tersebut namun terkejut apabila menemui longgokan sampah dan bekas pembungkus makanan yang bersepah di tepi jalan.

“Saya tak tahu siapa buang sampah di sini tapi apa yang mereka lakukan ini sangat tidak bagus dan tiada kesedaran sivik. Ini adalah tempat rekreasi, orang ramai memilih tempat ini untuk membawa anak-anak melakukan senaman serta mengamalkan gaya hidup cergas.

“Sepatutnya kawasan ini bebas daripada kotoran mahupun bau busuk. Tapi sebaliknya pula berlaku, malahan keadaan ini turut menyakitkan mata memandang. Seharusnya kebersihan perlu dipelihara,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Ali berkata, apa yang diharapkan adalah pihak berkaitan dapat memandang serius masalah yang berlaku seterusnya menangani isu kekotoran di taman rekreasi berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dengan melantik beberapa agensi untuk menyelesaikan masalah tersebut, setelah menerima aduan mengenainya daripada orang awam.

“Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) serta Syarikat SWM Environment Sdn Bhd telah melaksanakan siasatan. Mereka mendapati terdapat dua lokasi panas yang menjadi tempat pembuangan sampah haram di sekitar Taman Rekreasi Jalan Bukit.

“Pembuangan sampah haram di kawasan tersebut dipercayai dilakukan selepas jam 5 petang. Kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan oleh Syarikat SWM Environment Sdn Bhd,” katanya.

Jelas beliau, SWCORP juga telah memasang papan tanda amaran larangan membuang sampah, di kawasan lokasi panas berhampiran tapak kemudahan peralatan senaman di Taman Rekreasi Jalan Bukit sebagai makluman kepada orang ramai.

“Untuk langkah lebih drastik, SWCORP dengan kerjasama MDKP juga akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu atau syarikat yang didapati membuang sampah merata-rata di sini, mengikut Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Di samping itu, beliau juga telah menubuhkan satu unit khas bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan pada setiap hari bekerja di sekitar Taman Rekreasi Jalan Bukit.

“MDKP juga memohon kerjasama semua pengunjung di Taman Rekreasi Jalan Bukit untuk bersama menjaga dan memelihara kebersihan kawasan rekreasi ini demi keselesaan semua,” katanya.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (25 JANUARI 2018)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.