Amaran Keras Buat Pemain Bolasepak Negeri Sembilan

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

SEREMBAN, 25 Jan - “Saya berjanji akan pastikan pasukan bola sepak Negeri Sembilan bebas daripada rasuah,” itu tekad Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar memberi amaran keras kepada setiap pemain agar tidak sesekali mendekati apatah lagi terjerumus dengan gejala rasuah.

“Jadi jangan main-main, sebab kita tidak pernah lewatkan (pembayaran) gaji saudara-saudara sekalian. Kalau lewat sekali pun, tidak seharusnya terlibat dengan rasuah. Jangan anggap kita tidak akan tahu. (Sebaliknya) kita akan gali, gali dan gali. Jangan kata kita tidak beri amaran dan nasihat. Kalau terlibat nanti, hukuman berat bakal menanti,” katanya.

Justeru beliau mengi-ngatkan setiap pemain supaya memaklumkan persatuan dan pihak pengurusan pasukan jika berdepan sebarang masalah, termasuk bab kewangan.

“Kalau ada apa-apa isu peribadi, beritahu jurulatih. Masalah duit, (boleh) minta dengan (pengurus pasukan) Datuk Mohamad Haslah (Mohamad Amin). Duit dia macam daun getah, apa hendak risau. Pemain yang tidak dibayar gaji dari pasukan lain (bila) datang sini minta pendahuluan sebulan, belum main pun kita sudah beri.

“Jadi macam mana lagi kita hendak layan. Kalau masih terpesona dengan pujuk rayu orang di luar sana, tidak tahulah macam mana kita meletakkan harga diri,” katanya semasa berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah PBNS di Klana Resort, di sini, petang semalam.

Barisan pemain import Negeri Sembilan juga tidak terkecuali melafazkan ikrar bebas rasuah.

Seramai 145 individu dalam kalangan pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan Liga Super Negeri Sembilan, Piala Presiden dan Piala Belia 2018 melafazkan ikrar berkenaan yang dipimpin oleh Penolong Kapten Skuad Jang, Mohd Fauzan Dzulkifli.

Upacara tersebut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian (25 JANUARI 2018)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.