Kalau diperhatikan warna bendera Negeri Sembilan mempunyai warna yang sama seperti kerajaan Minangkabau atau Pagaruyung di Sumatera. Tapi ia bukan bermakna setiap warna tersebut melambangkan maksud yang sama seperti bendera yang digunakan oleh kerajaan Minangkabau dahulunya. Sebenarnya tidak tercatit di mana-mana buku sejarah mahupun fail-fail Jabatan Kerajaan yang menyebut dengan tepat tentang bagaimana terciptanya bendera Negeri Sembilan.
Dalam fail di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, negeri Sembilan (bilangan 490/53) hanya tercatat kemungkinan bendera ini direka dan di cipta serta digunapakai pada tahun 1895. Ini berhubungkait dengan kemasukan Negeri Sembilan sebagai negeri bersekutu pada tahun 1895 dan penyatuan semula Negeri Sembilan dengan campur tangan pihak British melalui Perjanjian pada tahun 1898.
Dalam perjanjian tersebut, YTM Undang yang Berempat telah bersetuju untuk memperakui semula Yamtuan Muhammad sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan manakala Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan memperakui kebesaran dan kuasa Undang yang berempat DAN kesemua Undang Berempat serta Yang DiPertuan Besar bersetuju menerima pihak British sebagai penasihat dalam pentadbiran negeri.
Makna asal warna dalam bendera negeri adalah MERAH bermaksud Kerajaan British, HITAM bermakna kebesaran Undang Berempat dan KUNING bermakna Raja (Yang DiPertuan Besar) yang di daulatkan. Secara asasnya makna asal warna dalam bendera negeri sembilan adalah perakuan tentang kebesaran Raja, Undang Berempat dan naungan dari Kerajaan British.
Setelah kemerdekaan Tanah Melayu pada pada 31 Ogos 1957, maka timbul persoalan sama ada warna merah masih diperlukan lagi atau sebaliknya memandangkan Negeri Sembilan sebagai negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu telah merdeka dari cengkaman penjajahan British. Timbul cadangan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 1957 untuk menghapuskan warna merah di atas bendera Negeri Sembilan.
Akhirnya diputuskan oleh kerana warna merah tersebut telah lama digunapakai dalam bendera Negeri Sembilan ,Majlis menerima usul Allahyarham Tan Sri Abd Samad Hj Idris yang pada ketika itu menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, untuk menggantikan makna MERAH di bendera Negeri Sembilan sebagai “Rakyat yang diberi hak melalui perlembagaan negara dan negeri.”
Usul serta keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini telah diterima baik dan diluluskan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, YTM Undang Berempat dan Tunku Besar Tampin dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang pada 29 Disember 1960.
Dengan kelulusan tersebut maka dengan rasminya bendera Negeri Sembilan digunapakai dengan maksud yang ada sekarang yang menggabungkan rakyat, Undang dan Raja yang tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Sumber - Kelab Melayu NSDK
Artikel berkaitan:
Siapa Pencipta Lagu Kebesaran Negeri Sembilan?












