SEREMBAN, 23 Jan - Sebuah premis yang menjalankan aktiviti kitar semula bahan lusuh dan plastik dikenal pasti menjadi punca pencemaran Sungai Simin di Senawang di sini sehingga airnya bertukar menjadi warna biru.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari berkata, perkara itu dikenal pasti selepas pihaknya melakukan siasatan dan menjejaki sumber pencemaran sungai berkenaan bermula petang semalam.
“Pencemaran melibatkan kawsan sungai sepanjang lapan kilometer. Pelepasan air warna biru adalah dari kilang di kawasan Perindustrian Ringan Sri Senawang.
“Pihak JAS telah mengarahkan kilang itu melakukan kerja-kerja penyedutan serta pembersihan. Kerja-kerja tersebut telah selesai dilakukan pagi ini dan pencemaran warna di sungai itu telah diatasi sepenuhnya,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di Sungai Simin di sini.
Rakaman video menunjukkan air sungai di Senawang bertukar menjadi biru dipercayai akibat sisa buangan kilang tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook semalam.
Norhazni berkata, kualiti air sungai tersebut kini berada dalam keadaan terkawal dengan nilai pH adalah neutral.
“Pihak premis telah diarah menghentikan serta-merta sebarang aktiviti cucian plastik berwarna biru dan juga barang lusuh. Kita juga mengarahkan mereka menjalankan pembersihan di longkang awam dan sepanjang Sungai Simin yang tercemar dalam tempoh 24 jam,” katanya.
SUMBER - Petikan berita daripada Utusan Online (23 Januari 2018 | 7:11 PM)








