Keunikan Struktur & Senibina Masjid Negeri, Negeri Sembilan

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

Masjid Negeri, Negeri Sembilan merupakan masjid negeri yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan. Ia telah dibina pada tahun 1966 di atas tapak yang telah dikurniakan oleh kerajaan negeri pada ketika itu.

Gambar lama Masjid Negeri pada awal selepas pembinaannya.

Memandangkan Negeri Sembilan pada masa itu belum mempunyai masjid negeri, maka kerajaan Negeri Sembilan di bawah pempinan YAB Tan Sri Dr. Mohd Said bin Muhammad, Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-6 telah bersetuju supaya Masjid Negeri dibina di kawasan seluas lebih kurang 5 ekar yang berhampiran dengan Dewan Undangan Negeri bagi menggantikan Masjid Jamek Bandar Seremban yang tidak dapat menampung para jemaah yang semakin bertambah.

Dengan kos mendirikan masjid ini sebanyak RM1 juta pada ketika itu, kerja-kerja awal pembinaan dimulakan dengan istiadat menentukan arah kiblat yang dilaksanakan oleh Menteri Besar, YAB Tan Sri Dr. Mohamed Said pada 25 Mac 1966. Ia kemudiannya telah dirasmikan oleh DYMM Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Al-Haj Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada hari Jumaat, 24 November 2025.

Masjid Negeri yang mempunyai kedudukan yang strategik dimana terletak di pusat bandar serta kawasan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan

Bahagian hadapan Masjid Negeri

Rekabentuk Masjid Negeri sememangnya simbolik dan unik. Ia merupakan senibina moden bercampur elemen tradisional iaitu senibina Minangkabau.

Asas rekaan masjid berdasarkan satu bentuk yang berpecah sembilan yang terdiri daripada 9 buah tiang di luarnya, 9 Ruang dan 9 Anjung tambahan yang dibina menggambarkan struktur politik negeri ini di mana Negeri Sembilan yang satu ketika mempunyai 9 Daerah pentadbiran. Oleh sebab itu, RUANG DALAM masjid ini TIDAK mengandungi sebarang tiang dan ia berbeza sekali dengan masjid-masjid yang ada diluar sana dimana kebanyakan ruang dalam masjid mempunyai tiang-tiang yang menyokong struktur masjid tersebut.

Menara masjid yang terletak di luar kawasan masjid yang se-aras dengan tingkat 2 masjid

Struktur bumbung masjid pula dibina daripada konkrit bertulang yang dibentuk daripada 9 corong runcing yang apabila dicantumkan akan menjadi seperti sebuah payung yang mempunyai ukuran rentangan 100 Kaki dari kiri ke kanan.

Masjid ini mempunyai 3 Aras. Aras pertama terletaknya bilik air, bilik wuduk, bilik kuliah, Perpustakaan Islam dan juga Pejabat Pentadbiran Masjid. Aras kedua terletaknya dewan solat utama dan juga ruang solat sisi.

Ruang dalam masjid yang tidak mempunyai sebarang tiang

Di ruang solat sisi, pengunjung boleh melihat keindahan Taman Tasik Seremban yang terletak bersebelahan masjid. Aras ketiga adalah ruang solat tambahan yang terletak di setiap diameter dewan solat utama serta ruang legar di setiap sisi. Selain itu, sebuah menara juga terletak bersebelahan dengan masjid ini.

9 tiang di masjid ini merupakan tarikan utama senibina masjid ini dari luar. Ia juga kelihatan cukup menarik pada waktu malam apabila setiap tiang ini dipancarkan lampu. Dinding dewan solat utama dipadankan dengan kaca dan kayu serta dewan solat utama yang dilengkapi dengan sistem penghawa dingin.

Masjid Negeri pada waktu malam

Sumber - arkib.gov.my (Masjid Negeri Sembilan); www.islamgrid.gov.my

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.