Kenali Allahyarham Dato’ Haji Mohd Murtadza Syeikh Haji Ahmad

Share on Facebook
Tweet on Twitter

Pada 14 Mac 2016 yang lalu, kita semua dikejutkan dengan perkhabaran yang amat sedih dimana Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Syeikh Haji Ahmad, yang merupakan mantan Mufti Negeri Sembilan telah menghembuskan nafas terakhir beliau pada 3.08 petang di rumah anaknya di Sendayan kerana sakit tua.

Sesungguhnya saat pemergian beliau diratapi oleh seluruh penduduk Negeri Sembilan mahupun seluruh Malaysia. Ini kerana beliau adalah seorang tokoh yang amat disegani baik dari sudut ilmu dan pengalamannya dalam dakwah. Sesungguhnya beliau adalah ikon ulama’ tasawwuf yang terkemuka dan menjadi pendamai ummah yang cukup menyenangkan. Dan pada kali ini, kami ingin ceritakan serba sedikit perjalanan hidup beliau dan apa yang ditinggalkan beliau buat kita semua.

Allahyarham Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Syeikh Haji Ahmad dilahirkan pada 23 Safar 1356H iaitu bersamaan 5 Mei 1937. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Dato’ Shahbandar, Rasah. Kemudian meneruskan pengajiannya di Singapura bersama bapa saudaranya Tuan Haji Abdul Rasyid, dan kemudian di Sekolah Agama al-Atas, Johor Bahru hingga tahun 1956. Pada tahun 1957, beliau melanjutkan pelajaran di al-Mashor, Pulau Pinang. Kemudian tahun 1961 beliau menyambung pengajiannya ke luar negara iaitu di Maahad al-Kaherah dan seterusnya menuntut di Universiti al-Azhar, Cairo pada tahun 1967 hingga 1974.

Sewaktu beliau masih hidup, beliau telah memegang banyak jawatan penting antaranya sebagai guru Agama di Sekolah Agama Menengah Tinggi Bukit Merbah (1974), Qadhi di Daerah Kuala Pilah dan Jempol (Sehingga 1981), Ketua Penerangan Agama dan merangkap Imam Besar Negeri Sembilan (1981- 1984, Ketua Penerangan Agama dan memangku Qadhi Besar Negeri Sembilan (1984-1987) dan terakhir sebagai Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus (1987-2008).

Pada 5 Januari tahun 1997, beliau dilantik sebagai Sheikh Tarekat Al-Ahmadiyyah Al-Idrisiyyah Ar-Rasyidiyyah Ad-Dandrawiyyah bagi kawasan Asia Tenggara Sayyidi Ibn Idris iaitu merupakan waris kepada pengasas utama Tarekat Ahmadiah.

Antara sumbangan beliau semasa menjawat jawatan sebagai Mufti Negeri Sembilan ialah beliau berjaya mewujudkan Enakmen Murtad (2004) dan Enakmen Kawalan Tarekat (2007) yang menjadikan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan sebagai negeri yang pertama mewujudkan kedua-dua enakmen ini dan enakmen ini telah dijadikan contoh bagi negeri-negeri yang lain. Di bawah pimpinannya bersama-sama sahabat-sahabat beliau di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah berjaya menghasilkan lebih daripada 80 buah buku rujukan dalam bidang agama untuk memberikan panduan, penjelasan dan bimbingan kepada masyarakat.

Selain daripada itu, beliau juga telah berjaya meyakinkan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman al-Haj untuk menarik diri daripada menjadi penaung pertama ajaran Nasrul Haq seterusnya memastikan arahan daripada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa ajaran ini telah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar dilaksanakan dan dikuat-kuasakan di peringkat negeri.

Dalam pada masa yang sama, beliau juga aktif mengajar dan berceramah di beberapa buah masjid di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan beberapa tempat di Selangor disamping menjadi penaung beberapa organisasi pendidikan dan dakwah seperti Madrasah Tahfiz As-Saidiyyah, Negeri Sembilan.

Sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, beliau sempat berpesan kepada anaknya supaya meneruskan kerja dakwah yang dilakukan sejak dahulu, terutama Tarekat Ahmadiah yang dipimpinnya.
Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang besar buat penduduk Islam di Negeri Sembilan ini. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada beliau dan berdoa supaya beliau ditempatkan bersama-sama dengan pada para syuhada dan solihin. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.