Kejadian Pecah Kedai Di Bahau, Penjenayah Sempat Larikan 5 Buku Roti

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

BAHAU - Hampa namun tidak pulang dengan tangan kosong, walaupun taktik penjenayah ingin mencuri barang bernilai tidak berhasil apabila hanya dapat mencuri empat ke lima buku roti sahaja.

Kejadian itu diceritakan pemilik kedai roti di pekan Bahau dikenali sebagai Feng Moa, 73, apabila premisnya diceroboh kelmarin.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi sekitar jam 6 pagi, dia mendapati mangga pada pintu premisnya telah dipotong.

“Biasanya saya akan ke kedai seawal pagi untuk uruskan beberapa perkara termasuklah persiapan membancuh adunan sebelum roti dibakar. Apabila terlihat keadaan itu, saya lega kerana wang dan lain-lain barang berharga tak disimpan dan ditinggalkan di dalam kedai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hasil pemeriksaannya mendapati empat ke lima buku roti telah hilang dan yakin ia dilakukan pencuri, yang berkemungkinan letih dan lapar setelah mencari barang bernilai terutama wang tunai di dalam kedai.

Feng Moa (kanan) menunjukkan roti yang dibuat kepada Seh Yong (kiri) di premisnya. - Foto Sinar Harian

“Perkara inilah yang saya bimbangkan hampir setiap hari sejak 42 tahun mengusahakan perniagaan ini. Mujur tiada perkara yang tak diingini berlaku, cuma rugi sekitar RM10. Kejadian ini pertama kali berlaku. Saya tak buat laporan polis. Namun saya berharap ia tak akan berulang malahan saya akan lebih tingkatkan tahap keselamatan kedai ini,” katanya.

Terdahulu, Feng Moa menerima kunjungan Adun Bahau, Chew Seh Yong selepas dimaklumkan kejadian itu, sekitar jam 10 pagi.

Seh Yong berkata, semua pemilik premis perniagaan perlu mengambil iktibar dalam kejadian menimpa mangsa agar tidak menyimpan wang tunai atau apa sahaja barangan bernilai dalam premis perniagaan masing masing.

“Jangan pandang ringan isu keselamatan. Jadilah mata mata polis dan salurkan maklumat supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Sumber - Sinar Harian (16 September 2025)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Orang Nogori
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.