Biarlah Uwan Duduk Disini Sampai Mati

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

REMBAU,28 Dis - “Susah hati saya. Dulu janji saya duduk sini sampai mati. Sekarang disuruh pula keluar dari rumah pusaka ini,” kata Rokiah Ibrahim, 80an, ketika ditemui di rumah pusakanya di Kampung Kota, di sini, semalam.

Rokiah yang berbicara dengan loghat Negeri Sembilan kini tertekan apabila dia dihalau dari rumah berkenaan selepas tanah pusaka terbabit ditukar nama kepada sepupu perempuannya lebih awal, sebelum kematiannya.

Menurutnya, dia masih mempunyai waris terdiri daripada saudara-mara, bagaimanapun bagi tradisi masyarakat Adat Perpatih di negeri ini, harta pusaka seperti tanah dan rumah harus diwariskan kepada anak perempuan bongsu.

Atas dasar itu, katanya, dia akhirnya bersetuju menukar nama tanah pusaka lebih awal sebelum kematiannya kepada sepupu perempuan memandangkan dia tidak mempunyai anak, apatah lagi anak perempuan.

“Saya tak mahu jual tanah ini. Dia (sepupu) janji nak duduk di tanah pusaka ini. Duduklah…

“Kemudian dia ajak tukar nama. Masa itu dia janji nak bagi saya duduk sini sampai mati,” katanya.

Namun begitu, katanya, dia terkejut apabila dia diminta keluar dari tanah berkenaan dalam kejadian beberapa bulan lalu.

“Dulu saya cakap saya nak duduk di sini sampai hujung nyawa. Emak dia dengan mak saya, adik beradik. Kalau tak bagi, kepada siapa lagi. Bila saya dah mati, tanah pusaka inilah yang dia punya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah pusaka berkenaan di sini, semalam.

Rokiah yang merupakan anak perempuan tunggal dari enam beradik berkata, sejak lahir dia sudah menetap serta membesar di rumah berkenaan.

Malah, katanya, dia amat berharap supaya dapat tinggal di rumah berkenaan sehingga akhir hayatnya.

“Saya nak dikebumikan dekat dengan arwah mak dan ayah di sini. Kalau tak bagi saya duduk sini, sepatutnya awal-awal lagi beritahulah sebelum tukar nama. Ni dah tukar nama, tak bagi pula,” katanya.

Menurutnya, selepas proses tukar nama itu, dia meminta sepupunya itu untuk membuatkan badal haji untuk Allahyarham ibunya sebagai proses tukar ganti.

“Duit pun dia ada bagi sedikit. Tapi itulah, saya susah hati bila disuruh keluar dari rumah pusaka ini,” katanya kesal.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kota Pekan, Jahaya Awang berkata, pihaknya sedia maklum dengan kes berkenaan.

Menurutnya, hasil perbicangan dengan barisan JKKK serta penduduk, majoriti penduduk mahu warga emas berkenaan terus menetap di rumah pusaka berkenaan sehingga ke akhir usia.

Menurutnya lagi, tanah berkenaan sudah ditukar milik sejak 2006 lagi dan biasanya apabila melibatkan tanah pusaka, ia bukanlah merupakan urusan jual beli.

“Ia dipanggil sebagai pemberian kasih di mana ahli keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga yang lain untuk menikmati hasil dari tanah berkenaan. Jika ada rumah boleh beri peluang kepada yang berhak mengikut adat menetap sehinggalah yang berhak meninggal dunia, barulah hak milik tanah itu jatuh kepada pemilik lain yang layak.

Bagaimanapun, katanya, mungkin perjanjian tukar milik tanah berkenaan dibuat berdasarkan ‘janji mulut’ sahaja dan tidak didokumentasikan.

“Jadi timbul masalah kini dan menyebabkan warga emas ini bimbang ke mana hala tujunya selepas terpaksa keluar dari rumah. Kita harap agar ada penyelesaian yang baik buat masalah ini,” katanya.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (28 DISEMBER 2017)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Orang Nogori
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.