KUALA LUMPUR - Ayam tambatan skuad bawah 22 tahun negara (B-22), N Thanabalan sedia menggalas tugas lebih mencabar bersama skuad senior sekiranya pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada menagih khidmatnya.
Dia yang meledak empat gol pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan dua lagi dalam kempen kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, dilihat adalah jawapan kepada ketumpulan jentera serangan skuad senior.
Ketika ini, Vingada atau turut dikenali sebagai ‘The Profesor’ sedang menyiapkan pasukannya untuk aksi kedua Kumpulan B kelayakan Piala AFC 2019 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Selasa ini.
“Sebagai pemain bola sepak, tentunya impian saya ingin menyarung jersi pasukan senior. Apapun, itu terpulang kepada jurulatih (Vingada). Sekiranya khidmat saya diperlukan, saya sedia mencuba walaupun baru saja berakhir saingan Sukan SEA,” katanya.
Thanabalan, 22, yang mencipta fenomena susulan aksi bertenaganya sepanjang Sukan SEA kali ini dijulang sebagai bintang baru yang mampu diketengahkan di peringkat tertinggi.
PEMAIN Malaysia, Thanabalan Nadarajah (dua dari kiri) meraikan jaringan kedua Malaysia pada aksi bola sepak Kumpulan A Sukan SEA K2017 di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.
Malah, pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu turut digelar Ruud van Nistelrooy Malaysia apabila bijak menempatkan diri di dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol.
“Saya tak kisah apa orang nak gelarkan saya. Ada yang panggil Nistelrooy, ada juga Wayne Rooney tetapi semua itu saya ambil dengan positif. Perkara yang saya selalu fikirkan ketika beraksi cuma satu, iaitu bagaimana untuk pastikan pasukan menang tidak kira saya jaringkan gol atau rakan sepasukan lain,” katanya yang juga pemain FELCRA FC.
Sumber - Berita Harian Online (1 September 2026 | 9:30pm)
Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com
Orang Nogori









