Sejarah dan asal-usul Gemencheh Negeri Sembilan

Share on Facebook
Tweet on Twitter

Gemencheh atau ‘Moncheh’ merupakan luak yang dikuasai oleh satu perut atau suku dalam Adat Perpatih. Gemencheh terletak dalam daerah Tampin, Negeri Sembilan, berdekatan sempadan di antara Negeri Sembilan dengan Melaka. Pekan Gemencheh pula terletak di antara Tampin dan Gemas, Negeri Sembilan manakala Kampung Gemencheh terletak berhampiran dengan Sungai Gemencheh, dalam Daerah Tampin, Negeri Sembilan.

Bagi penduduk asal, Pekan Gemencheh dipanggil ‘Simpang’ kerana terdapatnya tiga simpang menghubungkan Tampin, Gemas & Gemencheh Lama. Terdapat tiga pekan-pekan kecil di Gemencheh iaitu Pekan Gemencheh Baru, Pekan Gemencheh Lama, Pekan Gedok dan Pekan Air Kuning. Selain itu Gemencheh juga dulu pernah dikenali dengan nama Sungai Siput.

Pada zaman dahulu ada seorang seorang lelaki dengan isterinya dari Minangkabau telah datang ke Melaka lalu naik ke darat sampai ke sautu tempat yang sekarang dikenali dengan nama Kampung Tengah. Di situ mereka membuka ladang bertanam padi. Setelah sekian lama tinggal di kampung itu, mereka mudik lagi lalu sampai ke suatu tempat. Di situ mereka berjumpa dengan dengan seorang Jakun (Biduanda) dengan isterinya. Si suami bernama Supai dan isterinya dinamakan Mencheh. Orang Minangkabau pun membuat perjanjian bekerjasama dengan orang Biduanda (Jakun) itu lalu tempat itu dinamakan Menceh atau Gemencheh, mengikut nama isteri Supai itu. Dengan itu, Supai menjadi penghulu pertama Gemencheh.

Pada masa pemerintahan Dato’ Wan Eto Rubah (Dato’ Saeto) sebagai Undang Johol yang ketujuh (1840-1901), berlaku pergaduhan antara Gemencheh dengan Johol. Punca pergaduhan ini tidak diketahui walaupun ada yang mengatakan pergaduhan ini berpunca daripada perebutan lombong emas di Bukit Chimendras, dalam luak Gemencheh. Peperangan berlaku antara pihak Gemencheh dengan Johol di Bukit Talang (kini Kampung Pulau). Pihak Johol yang dipimpin oleh Dato’ Muda Pilih, manakala pihak Gemencheh diketuai oleh Raja Husain. Johol memenangi peperangan tersebut dan pihak Gemencheh terpaksa berundur. Namun pihak Gemencheh tidak berputus asa dengan kekalahan mereka. Mereka menyediakan satu pasukan yang lebih kuat untuk menentang pihak Johol. Maka peperangan berlaku sekali lagi.

Pada masa itu, walaupun Dato’ Muda Pilih berjaya memimpin pihak Johol melawan pihak Gemencheh, tetapi perangainya yang buruk tidak disukai oleh orang Johol. Dato’ Saeto memecat Dato’ Muda Pilih dan gelaran Dato’ Muda dihapuskan. Gelaran Dato’ Baginda Tan Mas menggantikan gelaran Dato’ Muda sebagai calon utama yang bakal menjadi Undang Johol. Pertukaran ini dikanunkan dalam perlembagaan adat.

Dato’ Saeto juga menggunakan kebijaksanaannya menjadikan luak Gemencheh sebagai sebahagian daripada pesaka Undang Johol. Dia mendapat persetujuan daripada semua Dato’ Lembaga dan juga orang Johol supaya waris Biduanda daripada perut Gemencheh dan waris Biduanda daripada perut Johol bergilir-gilir meyandang pusaka Undang Johol. Oleh sebab semua Dato’ Lembaga bersetuju dengan tindakan Dato’ Saeto, maka semenjak peristiwa tersebut Undang Johol terdiri daripada dua perut, iaitu perut Gemencheh dan perut Johol.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.