Pencuri Motosikal Maut Dibelasah

Share on Facebook
Tweet on Twitter

JEMPOL, 6 Dis - Seorang lelaki yang dipercayai mencuri sebuah motosikal, maut dibelasah tujuh lelaki dalam satu kejadian berhampiran Pusat Perniagaan Kiara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata mangsa yang berusia 47 tahun, disahkan meninggal dunia pada jam 3.25 petang, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), akibat cedera parah di badan dan kepala.

Katanya, kejadian berlaku apabila pemilik motosikal menyedari motosikal yang diletakkan di hadapan sebuah pusat snuker pada Sabtu lalu hilang, lalu membuat laporan di Balai Polis Bahau.

“Pemilik kemudian melihat rakaman kamera tertutup (CCTV) di pusat snuker itu, dan melihat seorang lelaki yang dikenali mencuri motosikalnya.

“Isnin lalu kira-kira jam 8 malam, dua rakannya ternampak motosikal terbabit yang sudah ditukar nombor pendaftaran di Bahau dan bertindak mengejar sehingga Rompin.

“Lelaki itu berjaya ditahan dan kemudian dipukul menggunakan topi keledar. Dia kemudian dibawa ke Pusat Perniagaan Kiara lalu dipukul lagi oleh pemilik motosikal dan rakannya, sehingga tidak sedarkan diri,” katanya di sini, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, awal pagi semalam kira-kira jam 1 pagi, dua lelaki membawa mangsa yang cedera parah ke Balai Polis Bahau, dan mengaku memukulnya kerana mencuri motosikal.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 20-an, kini ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Empat suspek direman mulai semalam manakala tiga lagi direman mulai hari ini,” katanya.

SUMBER - Petikan berita daripada Berita Harian Online (6 Disember 2017 | 2:17pm)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.