Pembinaan Pusat Bandar Palong (PBP) Bakal Dilaksanakan Tahun Hadapan

Share on Facebook
Tweet on Twitter

JEMPOL, 30 Dis - Sebuah pusat pengembangan ekonomi Pusat Bandar Palong (PBP) 4,5 & 6 akan dibina tahun hadapan membabitkan kos RM3.5 juta.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJL), Zazali Salehudin berkata, pembinaannya dijangka dilaksanakan sekitar Mac depan, sekali gus menjadikan lokasi yang lebih tersusun untuk peniaga.

“PBP dibina di atas tanah seluas 1.2 hektar, yang mana selepas siap ia akan memberi imej baru kepada PBP sekali gus menjadi tumpuan penduduk dari tanah rancangan Felda berhampiran termasuk dari Felda Palong Timur, Segamat.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan memperkemaskan operasi peniaga di pusat bandar berkenaan, selepas dijadikan sebagai kawasan operasi MDJL bermula September lalu.

“Projek ini turut membabitkan naik taraf pasar ayam dengan kos pembinaan menerusi peruntukan kerajaan negeri dan apabila siap mampu menempatkan 17 gerai peniaga,” katanya pada majlis pengenalan (blueprint) pusat berkenaan di tapak pasar tani Pusat Bandar Palong 4,5 & 6.

Hadir sama, Adun Palong, Datuk Dr Lilah Yasin.

Zazali berkata, projek itu adalah sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan ini ditempatkan dalam satu bangunan yang lebih tersusun, selain dilengkapi dengan kemudahan seperti surau dan tandas.

“Kita berharap perancangan ini diterima secara positif oleh penduduk, kerana ia untuk masa depan yang lebih baik merangkumi aspek kebersihan, kesejahteraan dan keselamatan.

“Dalam pada itu, kita turut mendapat maklum balas supaya MDJL memperluaskan operasi di kawasan lain, disebabkan keberkesanan operasi di sini apabila kerja pembersihan longkang, mengutip sampah dan memotong rumput dijalankan mengikut jadual,” katanya.

Sementara itu, Lilah berkata, pelbagai pembangunan akan terus dilaksanakan dalam kawasan PBP termasuk perancangan membina sebuah pasar tani kekal kendalian Fama.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online ()

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.