Nicolas Velez, Senjata Baru Negeri Sembilan

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

SEREMBAN, 18 Dis - Bekas pemain kelab Thailand, Suphanburi FC, Nicolas Velez akan menjadi senjata baharu Negeri Sembilan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pemain kelahiran Buenos Aires, Argentina berusia 27 tahun itu dan mempunyai ketinggian 173 sentimeter itu dikatakan sudah menandatangani kontrak dan dijangka mengemudi jentera serangan Hobin Jang Hobin yang memerlukan kekuatan baharu bagi menghadapi saingan sengit Liga Super.

Menerusi kenyataan rasmi laman facebook Velez, pemain itu mengucapkan terima kasih kepada bekas pasukannya kerana mempunyai kenangan indah sepanjang bersama mereka musim lalu.

“Sekarang masa untuk cabaran baharu dalam kerjaya saya dengan bermain untuk Negeri Sembilan bagi musim 2018 dalam Liga Super,” katanya.

Velez memulakan kerjaya bola sepaknya dengan akademi River Plate sebelum menyertai musuh ketat kelab itu, CA Huracan.

Bagaimanapun dia sukar mendapat tempat dalam pasukan itu dan mengambil keputusan untuk berpindah ke Sepanyol dengan menyertai Atletico Sanluqueno pada 2013.

Pada tahun berikutnya, Velez mencari angin baru di Asia Tenggara dengan menyertai kelab Liga Singapura, Warriors FC sebelum beralih ke kelab India, North East United FC (NEUFC).

Musim 2017, dia menyertai Suphanburi yang beraksi dalam liga utama negara Gajah Putih itu dan menjaringkan 13 gol menerusi 28 penampilan, antara jaringan terbanyak yang pernah dilakukannya dalam tempoh tujuh tahun.

Selain Velez, Negeri Sembilan juga sudah mengikat pemain pertahanan skuad kebangsaan Singapura, Madhu Mohana.

SUMBER - Petikan berita daripada Harian Metro Online (18 Disember 2017 | 3:00 PM)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.