KUALA PILAH, 6 Jan - Empat lelaki gagal dalam cubaan menyamun sebuah kedai emas di jalan Dato di sini, malam tadi.
Dalam kejadian antara 7.30 malam sehingga 8.30 malam, alat penggera keselamatan kedai terbabit telah diaktifkan dan disedari oleh pemiliknya.
Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superitendan Haslah Bachok berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik kedai berusia, 66 tahun apabila menerima amaran dari telefon bimbit sekiranya berlaku kecemasan di kedai berkenaan.
“Peniaga itu telah menerima sebanyak tiga kali amaran dari telefon bimbit untuk memberitahu bahawa penggera keselamatan di kedainya itu telah diaktifkan. Pada awalnya, peniaga itu beranggapan penggera diaktifkan kerana gangguan dari tikus atau cicak susulan pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.
“Namun rasa tidak sedap hati, peniaga telah hadir di Balai Polis Kuala Pilah jam 830 malam, untuk meminta bantuan polis bagi melakukan pemeriksaan ke atas kedainya,” katanya.
Pintu keselamatan milik kedai emas telah diumpil dalam cubaan menyamun -
Foto Sinar Harian
Katanya, sepasukan anggota polis telah melakukan pemeriksaan dan mendapati kotak penggera kedai terbabit telah dicabut.
“Dipercayai tindakan itu untuk memecah masuk ke dalam kedai menerusi pintu keselamatan di bahagian kanan kedai, bagaimanapun tidak berjaya. Polis juga mendapati, terdapat kesan umpil menggunakan cutter dan mangganya telah dipotong,” katanya.
Jelas Haslah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kedai itu telah diteliti dan mendapati seramai empat lelaki terlibat dalam kejadian tersebut.
“Hasil pemeriksaan turut menjumpai satu kesan cap jari ditemukan di tempat kejadian. Dan tiada kerugian direkodkan namun siasatan lanjut diteruskan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau, menasihatkan kepada semua pemilik kedai emas di daerah ini supaya sentiasa berwaspada dan memaklumkan kepada polis dengan segera sekiranya terdapat maklumat yang mencurigakan berlaku di kedai mereka.
Dalam pada itu, tinjauan sebuah akhbar tempatan mendapati, kedai berkenaan beroperasi seperti biasa hari ini.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (6 Januari 2018)









