SEREMBAN, 23 Dis - Sebanyak 11 jenis barang di Negeri Sembilan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga sempena sambutan Krismas pada Isnin ini.
Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, skim itu berkuatkuasa mulai hari ini sehingga Rabu depan.
Menurut beliau, barangan yang terlibat meliputi kategori ayam, telur ayam, daging kambing dan sayur-sayuran.
“Sebagai contoh, harga runcit ayam hidup sekilogram RM5.80 manakala daging kambing tempatan bertulang RM41 sekilogram. Harga runcit telur ayam gred A pula 36 sen sebiji dan gred B sebiji 35 sen. Bagi lada benggala hijau, harganya RM9 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di Aeon Mall Seremban 2, di sini, sebentar tadi.
Turut hadir, Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman dan Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azizan Abdullah.
Katanya, kesemua barang yang tersenarai dalam skim itu boleh dikenal pasti melalui tanda harga warna merah jambu.
“Peniaga yang menjual 11 barang ini melebihi harga ditetapkan atau gagal meletakkan tanda harga warna merah jambu, boleh berdepan tindakan. Penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (23 Disember 2017)









