
SEREMBAN, 28 JAN – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bersama-sama dua putera Baginda, Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Ali Redhauddin dan YAM Tunku Zain Al’Abidin berangkat menghadiri dan menyempurnakan Majlis Penutup Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan, malam tadi.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Dato’ Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.
Menteri Besar dalam ucapannya berkata, dalam keadaan umat Islam berhadapan dengan pelbagai ancaman pemikiran kontemporari, maka kefahaman ilmu Al-Quran dan hadis amat mustahak dikuasai seluruh umat Islam. Menurutnya lagi majlis menghafaz dan tilawah Al-Quran ini adalah sebahagian daripada langkah menyeru umat Islam supaya sentiasa menekuni dan menghayati ayat suci Al-Quran.
Dalam majlis ini, pemenang bagi kategori Remaja Lelaki dimenangi oleh Muhammad Khairul Asyraf Kamaludin. Manakala kategori perempuan dimenangi Nurhidayatul Akmal Khairunnisa Amir Hamzah. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil penyertaan. Bagi kategori Dewasa Lelaki pula dimenangi Ahmad Basyar Abu Bakar, manakala kategori wanita dimenangi Normalina Alias yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 dan hadiah menunaikan haji bernilai RM12,000.
Antara lain, kategori Veteran Lelaki pula dimenangi Dr Mohd Ghazali Abd Rahman. Manakala kategori wanita dimenangi Maimon Harun. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan hadiah iringan. Selain itu, daerah Seremban telah dinobatkan sebagai daerah yang memperoleh markah tertinggi keseluruhan. Sumber dari N9kini.com










