Warga Emas Di Kampung Batu Bakar Pengsan Seharian

JEMPOL, 16 Apr – Seorang warga emas pengsan hampir seharian di kediamannya di Kampung Batu Bakar di sini, dipercayai akibat masalah darah tinggi.

Warga emas itu, Liew Rui Qing 75, ditemui dalam keadaan terbaring oleh jirannya yang ketika itu terdetik hati untuk meninjau keadaannya melalui tingkap selepas mendapati dia tidak keluar rumah sejak pagi kelmarin.

Kejadian itu dimaklumkan segera kepada Ketua Kampung, Steven Chong yang bertindak memecahkan jaring besi tingkap, setelah gagal membuka pintu utama rumah warga emas itu.

Steven Chong berkata, dia segera ke lokasi sekitar jam 7 pagi dan beberapa kali memanggil warga emas itu namun masih tiada sahutan.

“Kami nampak dia terbaring di bahagian ruang tamu. Dia tinggal sendirian dan selepas diperiksa tekanan darah tingginya mencecah 230.

“Mujur ada yang sedar, jika tidak nasibnya mungkin lagi parah.

“Sebelum ini, saya difahamkan ada jiran dengar suara orang menjerit sebelah malamnya, namun jiran berdekatan tidak mengesyaki apa apa. Keadaan dia kini stabil dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Jempol,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Steven memberitahu, pihaknya lega apabila masyarakat setempat masih mempunyai amalan ambil tahu tentang kejiranan masing-masing.

“Tambahan pula jiran yang tinggal sendirian, memerlukan perhatian kejiranan susulan ada dalam kalangan mereka tinggal sebatang kara. Walau bagaimanapun, kita akan pantau dari semasa ke semasa selain sentiasa menziarah penduduk setempat selain ambil tahu tentang perkembangan dan permasalahan penduduk,” katanya.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (16 APRIL 2018)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.