Tolehan Terakhir Suami Sebelum Pergi Selama-lamanya

SEREMBAN, 17 Mei – “Arwah pernah beritahu alangkah baik jika dia meninggal di bulan Ramadan,” kata Jamaliah Mohd Amin, 55, isteri kepada Pegawai Bomba Tinggi, Zainal Ahmad yang maut dalam kemalangan di Kilometer 277.8 Lebuhraya PLUS, arah selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di sini, pagi ini.

(Gambar atas) Keadaan motosikal yang ditunggang seorang Pegawai Bomba, Zainal Ahmad yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 277.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. FOTO – BH Online

Zainal, 57, yang berkhidmat di Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan dalam perjalanan ke tempat kerja di Seremban 2, sebelum motosikal ditunggang hilang kawalan dan merempuh belakang lori tunda yang berhenti di tepi jalan pada jam 7.40 pagi.

Menurut Jamaliah, dia dan suami sempat bersahur dan solat Subuh di surau berhampiran rumahnya di Kuarters Balai Bomba Nilai, sebelum suaminya bersiap untuk ke tempat kerja.

“Ketika bersiap, arwah suami memakai baju-T terbalik dan menyedarinya tetapi tidak mempedulikannya kerana mungkin dia sudah terlambat.

“Namun, dia sempat membelai kucing di luar rumah dan menoleh kepada saya, tidak seperti kebiasaannya terus pergi kerja. Saya tidak menyangka ia petanda arwah akan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, hari ini.

Jamaliah berkata, menjadi rutin mereka berbuka puasa dan menunaikan solat sunat terawih serta tadarus bersama sepanjang Ramadan.

“Allah jemput suami saya di bulan baik dan saya reda dengan pemergiannya,” kata ibu kepada tiga anak berusia 24 hingga 30 tahun.

Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Norazam Khamis yang ditemui ketika menziarahi keluarga arwah di HTJ berkata, Zainal sudah berkhidmat lebih 34 tahun.

Beliau berkata, pengalaman dan perkhidmatannya yang baik selama berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai menyebabkan Zainal ditukarkan ke Bahagian Operasi, kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, pihaknya membantu menguruskan jenazah arwah dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, selepas solat Zuhur hari ini.

SUMBER – Petikan berita daripada Berita Harian Online (17 Mei 2018 | 2:56pm)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.