Terkilan Niat Baik Bantu Anak Sakit, Disalah Erti

SEREMBAN, 18 Nov – “Orang tak tahu apa yang saya lalui. Saya bukannya minta derma, tapi hanya jual barang untuk tampung kos perubatan anak sakit.”

Terkilan Niat Baik Bantu Anak Sakit, Disalah Erti

Kecaman diterima netizen berhubung statusnya di Facebook.

Demikian luah Nurizzaty Bahari, 26, yang terkilan kerana disalah anggap berikutan tindakannya memuat naik status menjual alat ‘MP4 learning’ miliknya sebagai duit tambahan bil hospital anak bongsu, Mohamad Amin Iskandar, 10 bulan yang kini menderita kanser darah sejak Mei lalu.

Menurutnya, dia tidak pernah terlintas mahu meraih simpati sesiapa, sebaliknya mengharapkan orang ramai dapat membantu dengan cara membeli barang yang dijualnya.

“Alhamdulillah selepas beberapa hari memuat naik di Facebook, ada yang sudi membelinya. Sebenarnya hanya segelintir saja pandang negatif dan ramai yang sudi membantu, saya betul-betul tak sangka.

“Biarlah apa saja orang nak cakap, tapi ini salah satu usaha saya membantu suami cari duit tambahan. Lepas ni saya cadang nak jual baju anak, beg tangan dan kasut yang dah tak pakai,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

Katanya, tindakan memuat naik gambar anaknya itu sebagai bukti dia bukan mereka cerita atau sengaja mahu meraih simpati.

Bercerita lanjut mengenai keadaan anaknya, Nurizzaty yang juga suri rumah berkata, semuanya bermula April lalu apabila anaknya mengalami cirit-birit yang teruk selama dua bulan.

Pada mulanya doktor mengesyaki yang bayinya itu mengalami jangkitan kuman dalam darah sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Doktor kemudian mengesahkan bayinya itu menghidap penyakit kanser darah.

“Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya sebaik diberitahu anak alami penyakit serius. Tapi, saya reda dan sekarang hanya fikirkan keadaannya yang kini dirawat di HTJS sejak Sabtu lalu.

“Sekarang ini doktor masih pantau keadaan Mohamad Amin dan dalam waktu terdekat ini pula ada rawatan susulan di HKL. Kos rawatan dan ulang alik itu sahaja dalam tempoh sebulan dianggarkan RM600.

“Suami saya pula seorang saja bekerja dengan pendapatan RM1,400 sebagai tukang masak di sebuah hotel di sini. Kalau ikutkan sebelum ini cukuplah untuk tampung kami empat beranak, tapi sekarang banyak yang perlu kami fikirkan,” katanya yang tinggal di Taman Desa Rhu, di sini.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana ayahnya turut membantu selain bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal RM500 setahun.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (18 November 2017)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.