Selesaikan Segera Masalah Bekas Tapak Pelupusan Sampah Di Kampung Keru

TAMPIN, 4 Apr – Penduduk di Kampung Keru di sini, memohon pihak bertanggungjawab segera menyelesaikan masalah membabitkan tapak pelupusan sampah di perkampungan itu walaupun tapaknya sudah ditutup.

(Gambar atas) Timbunan sampah di tapak pelupusan sampah di Kampung Keru.

Rata-rata penduduk mendakwa, selagi jutaan tan sampah tidak dipindahkan dari lokasi tersebut, air kotor, bau busuk serta berbahaya kepada hidupan akan terus mengalir ke anak sungai sekali gus menyebabkan pencemaran sumber air sehingga ke Gadek.

Penduduk, Zainal Abidin Agam, 53, dari Batu 5, Keru, menyatakan sekiranya hari hujan, masalah pencemaran semakin meruncing apabila takungan air yang banyak di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut akan mengalir ke anak sungai.

Selesaikan Segera Masalah Bekas Tapak Pelupusan Sampah Di Kampung Keru

Air sungai yang bertukar warna dibimbangi mencemarkan sumber alam.

“Sampah di sini dah 30 tahun, macam-macam ado, ayam mati ado, sumo (semua) ado ni. Bau eh tak boleh tahan, kalau hari hujan lagi toghuk (teruk), air ni semua poie (pergi) ko Kampung Keru ke Kemuning sampai ke Gadek. Mano ada rawatan air. Tompek lain yang beghosih, Koru (Kampung Keru) yang busuk,” luahnya ketika ditemui di Tapak Pelupusan Sampah di Kampung Keru di sini, semalam.

Air sisa sampah mengalir ke anak sungai

Seorang lagi penduduk, Zul Aziz, 60, memberitahu, dia hanya sempat mengusahakan projek kolam ikan dan ternakan udang serta kebun belimbing dengan hasil jualan sekali sahaja memandangkan kesemua ternakannya mati.

Malah tanamannya juga mati sedikit demi sedikit.

Zul, 60, yang juga bekas anggota tentera mengakui, dia pulang semula ke Kampung Keru pada 1998, demi mengusahakan projek tersebut di atas sebidang tanah seluas lebih 1.61 hektar.

Selesaikan Segera Masalah Bekas Tapak Pelupusan Sampah Di Kampung Keru

Keadaan takungan air dari sampah yang menimbun.

“Keseluruhannya saya terpaksa tanggung rugi lebih RM30,000. Masalah saya ialah pencemaran air dari sampah di tapak pelupusan ni. Macam-macam tindakan saya ambil sampai saya tahan lori sampah yang datang ke sini.

“Saya pun tak tahu macam mana nak selesaikan. Mungkin sekarang ni masalah sebegini boleh diselesaikan, mungkin atas doa orang kampung, itu saja,” katanya.

Zul memberitahu, dia tidak dapat melupakan hampir dua tan ikan serta udang ternakannya mati.

“Sekarang kolam habis, belimbing pun habis. Saya ingat kalau nak buat projek tu semula pun hanya orang gila ja buat, rugi,” katanya.

Sementara itu, pemilik tanah berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Keru, Razali Abdullah, 56, berkata, walaupun tapak pelupusan itu sudah ditutup dan tidak lagi beroperasi, namun pencemaran bau serta sumber air masih lagi berlaku.

“Sampah ni dah 30 tahun di sini, dah tinggi dianggarkan 300 kaki. Sampahnya sahaja mungkin sudah mencecah berjuta tan.

“Selagi sampah ini masih di sini, air akan terus tercemar dan penduduk akan terus menghidu bau busuk,” katanya.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (4 APRIL 2018)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.