Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

satu program percuma khas oleh orangnogori.com

Kemasukan orang BUGIS ke Rembau telah membuka satu lembaran baru di dalam sejarah Negeri Sembilan. Kedatangan orang Bugis ini diterima dengan baik, diberikan penghormatan dan dilindungi oleh Penghulu Rembau. Namun, oleh sebab sistem kemasyarakatan dan kehidupan yang berbeza dengan masyakarat Adat Perpatih maka orang Bugis telah berhijrah dan akhirnya membuka Linggi.

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Sungai Linggi merupakan gerbang laluang orang Bugis ke Negeri Sembilan

Masyarakat Bugis Linggi mengamalkan adat yang dikenali sebagai ‘Adat Linggi’ atau ‘Adat Muafakat dan Kebulatan’.

Di samping itu, peranan dan kemampuan Linggi di dalam mengawal lalu lintas perdagangan di Sungai Linggi menyebabkan Linggi sentiasa dicemburui oleh pembesar-pembesar adat Negeri Sembilan dan juga Inggeris.

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Linggi kini dipisahkan kepada 2 bahagian iaitu Melaka dan Negeri Sembilan.

Salah satu masyarakat yang berjaya menempatkan kelompok mereka di Negeri Sembilan dan memainkan peranan penting di dalam pembinaan sejarah Negeri Sembilan moden ialah masyarakat Bugis. Masyarakat Bugis telah berhijrah dari Riau ke Rembau dan akhir sekali menetap di Linggi sehingga mampu mengawal perdagangan di Sungai Linggi.

Linggi berjaya menonjolkan kemampuannya mengawal politik Negeri Sembilan hampir 200 tahun sehingga ia menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar adat di Negeri Sembilan. Linggi sering kali terlibat di dalam peperangan mahupun persengketaan bagi menentukan siapakah yang layak mengutip cukai dan mengawal perdagangan di Sungai Linggi.

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Sebahagian Mukim Linggi: Kampung-kampung dalam Wilayah Linggi Tradisional

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Peta lakaran Eredia (1613) menunjukkan lokasi Linge (Linggi)

Kedatangan kelompok Bugis ke Rembau diketuai oleh Dato’ Awaluddin bersama kakaknya Dato’ Serilah, Lebai Kunut, suami Dato’ Serilah bersama-sama pengikut-pengikutnya. Pada peringkat awal, mereka menetap di Batang Tiga, namun disebabkan telah wujud perkampungan masyarakat Bugis di Batang Tiga menyebabkan perasaan tidak selesa di kalangan pengikut Dato’ Awaluddin. Mereka berpindah dan membuka perkampungan di Pengkalan Balak berhampiran dengan Kuala Sungai Baru, Melaka.

Sebahagian daripada pengikut Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah menetap di Pengkalan Balak manakala sebahagiannya meneruskan perjalanan bersama-sama Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah ke Rembau. Mereka telah menyelusuri Sungai Linggi dan Sungai Rembau sehingga mendarat di Penajis.

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Bagi mengelakkan sebarang persengketaan dan salah faham di antara pengikut Dato’ Awaluddin dan penduduk Rembau, beliau telah berjumpa dengan Penghulu Rembau, Dato’ Lela Maharaja Lulinsuh bagi mendapatkan keizinan untuk membuka perkampungan di Rembau. Penghulu Rembau telah membenarkan Dato’ Awaluddin bersama-sama pengikutnya membuka perkampungan berhampiran Sungai Penajis iaitu Penajis Bandar.

Ketika di Penajis, Dato’ Awaluddin merasakan masyarakat Bugis berada di dalam keadaan tidak selesa dan tersepit. Ini disebabkan masyarakat sekeliling mereka mengamalkan adat yang amat berbeza iaitu Adat Perpatih dan mereka sentiasa dipandang sinis oleh orang-orang Rembau. Dato’ Awaluddin memohon keizinan daripada Penghulu Rembau untuk mencuba nasib dengan membuka perkampungan baru. Penghulu Rembau memahami masalah yang dihadapi oleh Dato’ Awaluddin dan membenarkan Dato’ Awaluddin membuka perkampungan baru di penghujung Sungai Linggi.

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Masjid Linggi: Masjid lama ini dibina oleh YM Datuk Muda Linggi yang ke-4, Dato’ Mohd Peral. Dibelakang masjid ini terdapat sebuah tabuh lama yang tidak digunakan lagi.

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Berdekatan dengan masjid, terdapat sepasang meriam milik Dato’ Mohd Peral. Ia dikatakan pernah digunakan dalam peperangan Linggi-Rembau

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Kawasan perkuburan Dato’ Muda Linggi Mohd Peral dan keluarganya yang terletak berhampiran kawasan masjid.

Pada tahun 1770, Dato’ Awaluddin, Dato’ Serilah, Lebai Kunut bersama pengikut-pengikutnya telah pergi ke satu kawasan lembah. Mereka telah membuka perkampungan di kawasan tersebut dan mendapati kawasan tersebut tidak sesuai untuk dijadikan perkampungan kerana sering dilanda banjir. Keadaan ini telah menyebabkan Dato’ Awaluddin kembali ke Penajis. Kepulangannya telah disambut dengan baik oleh Penghulu Rembau, Dato’ Lela Maharaja Lulinsuh.

Di penghujung tahun 1776, Marhum Janggut telah datang ke Kuala Linggi untuk berjumpa dengan Penghulu Rembau, Dato’ Lela Maharaja Lulinsuh dan Dato’ Awaluddin dengan tujuan untuk membawa pulang Dato’ Awaluddin, Dato’ Serilah dan Lebai Kunut pulang ke Riau. Tujuan membawa pulang Dato’ Awaluddin dipercayai adalah untuk membantu Riau berperang dengan Belanda dan juga ingin memastikan peralihan kuasa jawatan Yang Dipertuan Muda Riau seterusnya berlaku dengan baik.

Dalam tahun 1800, sekelompok masyarakat Bugis di Rembau yang terdiri daripada anak, cucu Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah seramai 7 orang telah memohon keizinan daripada Penghulu Rembau untuk membuka perkampungan selaras dengan perjanjian di antara Daeng Kemboja dan Penghulu Rembau. Kelompok ini diketuai oleh Lebai Dolman dan pengikutnya. Mereka telah pergi semula ke kawasan yang pernah dibuka oleh Dato’ Awaluddin, Dato’ Serilah dan Lebai Kunut sebelumnya.

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

Telapak YM Dato’ Muda Linggi. Telapak ini bertempat di Kampung Linggi yang didiami oleh Ibu Soko YM Dato’ Muda Linggi, Hj Mohamad Basri Bin Hj Omar

Sejarah Bugis Di Negeri Sembilan

YM Dato’ Muda Linggi ke-11, Hj Mohamad Basri Bin Hj Omar (1996 hingga sekarang;

Penghijrahan orang-orang Bugis dari Rembau ke Linggi merupakan titik tolak pembangunan ketamadunan masyarakat Bugis Negeri Sembilan. Mereka bebas mengamalkan adat resam yang dibina mengikut kesesuaian tempat dan kehidupan mereka di Linggi. Mereka tidak lagi mengamalkan Adat Bugis sama ada di Sulawesi mahupun di Riau dan juga tidak mengamalkan Adat Perpatih sebagaimana masyarakat Rembau pada ketika itu. Mereka mengamalkan adat budaya mereka sendiri yang dikenali sebagai “Muafakat bil Kitab wassunnati Qabulatan Minal Ustaz Ilamanati” yang membawa maksud “Muafakat Berteraskan Kitab Al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w. dan Berkebulatan juga Mentaati Ajaran Guru-guru”. Adat ini juga dikenali sebagai “Adat Linggi, Adat Bermaharalela Berlandaskan Hukum Syarak”.

Dato’ Syahbandar dapati Linggi ditadbir oleh orang Bugis, anak Penghulu Rembau maka beliau telah memanggil Juragan Abdul Rahman untuk berbincang. Peristiwa ini diterangkan di dalam perbilangan;

“Linggi beribukan Rembau, berbapakan Syahbandar”

KESIMPULAN

Linggi, walaupun sebuah wilayah yang terkecil di dalam Negeri Sembilan mampu membina sistemnya tersendiri. Kemampuan orang Bugis bertahan di dalam sistem kemasyarakatan yang berbeza dengan adat dan budaya Bugis begitu menakjubkan. Ini jelas sebagai masyarakat minoriti di dalam masyakarat Adat Perpatih, mereka telah menunjukkan bahawa mereka juga boleh berjaya dan menandingi orang lain.

Namun, disebabkan sikap tamak di kalangan pembesar-pembesar di Negeri Sembilan dan juga perebutan kuasa di kalangan anak-anak Linggi telah menyebabkan tewas di dalam pertempuran yang sengaja diwujudkan oleh Inggeris demi untuk mengaut keuntungan terhadap hasil bumi Tanah Melayu.

Kejayaan tokoh-tokoh Linggi seperti Pendeta Za’aba dan lain-lain bukan sekadar untuk orang Linggi malah untuk orang Melayu keseluruhannya.

SUMBER – Dipetik daripada nagarinantuo.com (Oleh Mohd Khairil Hisham bin Mohd Ashaari, Penulis dan Penyelidik Bebas); Gambar daripada warisanlinggi.blogspot.my; Sejarah Linggi, Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri Sembilan (Norhalim Hj Ibrahim)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.