Rezeki Roti Canai 50 sen Di Terminal Bas Port Dickson

PORT DICKSON, 23 Feb – Dengan hanya membayar RM1, pelanggan yang makan di Kedai M2 dan M3 Anati di premis perniagaan Terminal Bas Port Dickson dapat menikmati bukan satu tapi dua keping roti canai.

Roti canai berkenaan walaupun sekeping berharga 50 sen, namun rasanya tetap enak dan menepati cita rasa ditambah pula bersama kuah kacang dal dan sambal menjadikan ia hidangan yang berbaloi.

Pengusahanya, Siti Salasiah Sareh Alang berkata, hidangan popular dan kegemaran ramai itu dijual dengan harga 50 sen kerana mahu menawarkan sesuatu yang unik kepada pelanggannya.

Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, dia mula menjual roti canai kosong dengan harga 50 sen sejak Julai 2014 dan sehingga kini masih mengekalkan harga tersebut.

“Sebelum itu, saya jual 80 sen sekeping, tapi anak yang sulung bagi idea agar saya turunkan harga, saya terus setuju. Hampir empat tahun jual roti canai 50 sen, memberi kepuasan tersendiri kepada saya dan keluarga. Lebih-lebih lagi apabila melihat pelanggan berpuas hati dengan hidangan tersebut, ia semangat kepada saya untuk terus menjual roti canai 50 sen ini, ” katanya.

Siti Salasiah, 52, bagaimanapun mengakui menjual roti canai dengan hanya 50 sen memang tidak memberi banyak untung kepada perniagaannya, tetapi ia masih berbaloi.

“Memang tak banyak untung, tapi masih boleh balik modal dan ada juga keuntungannya sedikit. Roti canai 50 sen ramai yang jual, malah ada lebih lama daripada saya. Berpuluh tahun pun ada dan perniagaan mereka terus maju hingga kini. Sambutan orang ramai terhadap roti canai 50sen ini juga sangat baik,” katanya.

TAMBAH GERAI BERKAT 50 SEN

Wanita ini mendedahkan, hasil jualan roti canai 50 sen perniagaannya kini berkembang di mana dia mampu menyewa dua buah gerai yang lebih luas.

“Saya sendiri dulunya hanya sewa satu gerai di sini, tapi sejak hampir dua tahun lalu berkat jual roti canai 50 sen, saya dapat sewa lagi sebuah gerai menjadikan gerai luas dan banyak kerja boleh dilakukan dalam satu masa,” katanya.

Rezeki Roti Canai 50 sen Di Terminal Bas Port Dickson

Siti Salasiah memberitahu, dalam perancangan, dia akan mengekalkan harga 50 sen bagi sekeping roti canai sampai bila-bila selagi masih berniaga.

“Selain roti canai, saya juga jual nasi dengan aneka lauk dan dijual dengan harga berpatutan. Dengan perniagaan berasaskan makanan yang saya usahakan bersama suami, keluarga saya berjaya keluar daripada golongan penerima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sejak tahun lalu. Ini juga salah satu kejayaan yang saya capai dalam hidup,” katanya.

Siti Salasiah berkata, sekitar 2016, roti canai 50 sennya pernah tular di internet dan kedainya diserbu orang ramai untuk tempoh beberapa bulan sebelum keadaan kehadiran pelanggan kembali kepada asal.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (23 FEBRUARI 2018)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.