Raja Lenggang (1808 – 1824), Tamatkan Tradisi Menjemput Raja Dari Pagaruyung

DYMM Raja Lenggang (Yamtuan Lenggang Laut) atau Paduka Seri Tuanku Raja Ali merupakan Raja atau Yang di-Pertuan Besar ke-3 di Negeri Sembilan. Raja Lenggang adalah Raja ke-3 yang dijemput dari kerajaan Pagaruyung di Sumatera selepas Almarhum Raja Hitam. Baginda adalah daripada keturunan Yang Di-Pertuan Pagaruyung iaitu anakanda kepada Yamtuan Melenggang Alam atau Raja Naro I (1707-1767).

Jemputan Raja Lenggang sebagai raja adalah disebabkan kemangkatan Almarhum Raja Hitam pada tahun 1808. Atas kekosongan jawatan itu, Datuk Undang di Negeri Sembilan bersepakat untuk menghantar utusan lagi kepada Raja Pagaruyung untuk memohon seorang raja lagi dirajakan di Negeri Sembilan.

Raja Lenggang (1808 - 1824), Tamatkan Tradisi Menjemput Raja Dari Pagaruyung

Istano Basa Pagaruyuang di Batu Sangkar, Sumatera, Indonesia

Raja Lenggang yang ditabalkan di Penajis menjadi Yamtuan Seri Menanti (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan) dan bersemayam di Seri Menanti. Semasa Raja Lenggang menjadi Yamtuan Seri Menanti, baginda telah barkahwin dengan Tengku Ngah yang merupakan puteri kepada almarhum Raja Hitam. Hasil daripada perkahwinan baginda berdua telah melahirkan dua orang putera iaitu Raja Radin dan Raja Imam (Raja Ulin).

Raja Lenggang mempunyai hubungan yang baik dengan Yamtuan Muda Jelebu iaitu Tengku Sabun (Tengku Ahmad Shah). Bagi mengukuhkan hubungan baik itu lagi, dalam tahun 1820, seorang puteri Tengku Sabun telah dikahwinkan dengan putera Raja Lenggang, Raja Radin. Semasa baginda menjadi Yamtuan Seri Menanti, baginda telah berikhtiar apabila baginda mangkat kelak, putera baginda Raja Radin akan menggantikan baginda sebagai Yamtuan. Rancangan tersebut telah mendapat persetujuan Datuk Penghulu Ulu Muar, Datuk Bongkok Abdul Malek ketika itu.

Raja Lenggang (1808 - 1824), Tamatkan Tradisi Menjemput Raja Dari Pagaruyung

Salasilah Keturunan Raja-Raja di Negeri Sembilan

Pada tahun 1824, tanpa disangka-sangka, Raja Lenggang mangkat di Seri Menanti. Pada ketika itu, Raja Radin baru berusia 13 tahun. Datuk Bongkok Abdul Malik pula memaklumkan hasrat Raja Lenggang itu kepada Datuk-datuk Undang Yang Empat dan memohon supaya Raja Radin diangkat sebagai Yamtuan Seri Menanti. Walaubagaimanapun, hasrat tersebut telah ditolak oleh Datuk Kelana Sungai Ujong (Datuk Kelana Kawal) memandangkan pengganti Yamtuan Seri Menanti itu seharusnya dipilih dikalangan raja dari Minangkabau (Pagaruyung) berdasarkan tradisi yang diamalkan sejak Raja Melewar lagi.

Raja Lenggang (1808 - 1824), Tamatkan Tradisi Menjemput Raja Dari Pagaruyung

Bandar Diraja Seri Menanti

Walaubagaimanapun perbalahan tersebut berterusan sehingga tercetusnya perang antara Datuk Kelana Sungai Ujong dengan Datuk Penghulu Ulu Muar. Walaubagaimanapun Datuk Penghulu Ulu Muar telah kalah dalam peperangan itu. Setelah itu, Datuk Kelana Sungai Ujong telah melantik seorang raja bernama Raja Kerjan memangku jawatan Yamtuan Seri Menanti sementara menantikan seorang raja dari Pagaruryung yang akan dijadikan sebagai Yamtuan Seri Menanti.

Raja Lenggang (1808 - 1824), Tamatkan Tradisi Menjemput Raja Dari Pagaruyung

Dua tahun selepas itu iaitu pada tahun 1826, datanglah seorang Raja dari Pagaruyung iaitu Raja Labuh atau Yamtuan Sati ditabalkan sebagai Yamtuan Seri Menanti atas kehendak Datuk Kelana Sungai Ujong. Raja Labuh telah datang ke Negeri Sembilan bersama isteri dan anaknya, Raja Asil.

Semasa Raja Labuh menjadi Yamtuan Seri Menanti, baginda bersahabat baik dengan Raja Kerjan. Padahal Raja Kerjan bukanlah disukai oleh rakyat di Negeri Sembilan. Atas sebab itu, Raja Labuh tidak dapat menjalinkan hubungan persahabatan dengan Rembau, Ulu Muar dan Johol (Kediaman Yamtuan Radin). Sehinggalah pada tahun 1830 iaitu 4 tahun selepas itu, telah berlaku perselisihan faham antara Raja Labuh dengan Datuk Kelana Sungai Ujong.

Dikatakan punca pergaduhannya adalah disebabkan rasa tidak puas hati Datuk Kelana Kawal apabila Raja Labuh meminta beberapa karung duit tembaga yang dimenanginya sewaktu temasya sabung ayam yang diadakan di Seri Menanti.

Raja Lenggang (1808 - 1824), Tamatkan Tradisi Menjemput Raja Dari Pagaruyung

Aktiviti Sabung Ayam

Akibat daripada itu Datuk Kelana Kawal memerintah Penghulu Ulu Muar untuk menyerang serta menurunkan Raja Labuh daripada jawatan Yamtuan Seri Menanti. Peperangan tersebut telah membawa kekalahan kepada Raja Labuh. Akibatnya baginda terpaksa berundur dan berlindung di Melaka.

Selepas pada peristiwa itulah, Raja Radin putera kepada Raja Lenggang diangkat sebagai Yamtuan Seri Menanti iaitu pada tahun 1930. Sejak daripada itu sudah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyatakan bahawa “Tiadalah boleh dipilih siapa-siapa menjadi Yang DiPertuan Besar bagi negeri ini melainkan ianya seorang Melayu laki-laki yang sempurna akal dan memeluk agama negeri ini dan anak di dalam nikah yang berketurunan dari Raja Radin ibni Raja Lenggang mengikut sebelah laki-laki.”

Ia juga hendaklah dipilih dikalangan Putera Nan Empat yang terdiri daripada Tunku Besar Seri Menanti (asalnya digelar Tunku Besar); Tunku Laxamana; Tunku Muda Serting (asalnya digelar Tunku Muda) Tunku Panglima Besar. (Rujuk artikel barkaitan: Pewaris Takhta Negeri Sembilan Darul Khusus)

SUMBER – Sejarah Negeri Sembilan (Hj Buyong Adil); UUTKNS 1959; Geni.com (Raja Lenggang)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.