Penganan Atau Dodol Cair Tradisi Negeri Sembilan

Aktiviti mengacau dodol di negara ini sering dikaitkan dengan kenduri atau sambutan sesuatu perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha.

Namun tradisi itu dilihat tidak hanya dilakukan pada hari tertentu tetapi diteruskan pada setiap bulan di Kampung Kubang Rusa, Pelangai di sini.

Malah terdapat seorang penduduk yang mengambil keputusan untuk mengusahakan dodol atau dipanggil penganan di Negeri Sembilan sebagai usaha menonjolkan makanan tradisi Melayu kepada generasi muda.

Penganan Atau Dodol Cair Tradisi Negeri Sembilan

Rosman sedang mengacau penganan cair di kedainya di Kampung Kubang Rusa, Pelangai.

Pengusaha berkenaan, Rosman Yasip, 47, berkata, berkata, dodol kini dilihat menjadi makanan harian dan tidak sukar lagi ditemui berbanding zaman dahulu yang hanya sering dapat dinikmati ketika musim perayaan.

“Tapi, penganan lebih popular dalam kalangan masyarakat di Negeri Sembilan berbanding negeri lain dan penganan yang saya usahakan adalah penganan cair iaitu manisan yang masak kira-kira 80 peratus lebih senang diperoleh di Negeri Sembilan dan Melaka.

“Keluarga saya memang memiliki kepakaran membuat penganan cair menggunakan resipi warisan turun-temurun tapi pada awalnya sekadar dihidangkan kepada keluarga dan tetamu saja. Lama-kelamaan, saudara mara dan orang kampung mula menempah penganan cair daripada kami untuk dijadikan juadah sarapan pagi serta minum petang,” katanya.

TAK MENANG TANGAN

Menurutnya, dia menyediakan bahan-bahan membuat penganan cair seawal jam 7 pagi setiap hari untuk dijual terus kepada orang ramai dan perusahaannya itu turut dibantu anaknya Mohamad Faisal Ikmal, 22.

“Saya membuka gerai di tepi jalan saja, bila orang luar ternampak saya mengacau dodol, mereka akan hentikan kenderaan untuk melihat apa yang saya buat.

“Orang yang berhenti itu tadi kemudian akan membeli dan memperkenalkan dodol kepada orang lain sekali gus membantu memajukan perusahaan penganan ini,” katanya.

Rosman berkata, dodol Negeri Sembilan berbeza dari segi pembuatan yang menggunakan gula enau berbanding gula Melaka di negeri lain.

“Jika rata-rata penjual penganan akan menjual penganan biasa (keras) tetapi saya memilih untuk menjual yang cair kerana rasanya lebih enak dan tidak muak. Sekarang permintaan penganan cair meningkat dan sangat menggalakkan jika dibandingkan dengan dodol biasa. Kadang kala tidak menang tangan,” katanya.

Penganan Atau Dodol Cair Tradisi Negeri Sembilan

Penganan cair yang dimasak menggunakan gula enau mempunyai peminatnya tersendiri dan turut digemari masyarakat luar Negeri Sembilan.

Menurutnya, permintaan akan lebih bertambah ketika hujung minggu dan perayaan Aidilfitri kerana pengguna yang melalui Jalan Kuala Pilah – Batu Kikir untuk ke pantai timur meningkat.

“Jika hari biasa, saya akan menggunakan lima kampit tepung pulut, lima kilogram santan kelapa dan lapan turus gula enau untuk hasilkan satu kuali besar (kancah) penganan cair. Cuma pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, saya terpaksa menggandakan kuantiti bahan untuk dapatkan dua atau tiga kuali dodol cair tapi penyediaan penganan cair tak ambil masa yang lama, hanya satu jam setengah berbanding yang keras selama enam jam,” katanya.

Rosman berkata, penganan cair sedap enak dimakan walau apa jua caranya sama ada dimakan begitu sahaja atau dijadikan cicah roti mahupun biskut malah penganan tidak mudah basi serta boleh bertahan lama.

PENYEDIAAN YANG MENARIK

Sementara itu, pelanggan dari Mersing Johor, Marianis Abd Rahman, 57, berkata, pertama kali membeli dodol cair itu kerana tertarik dengan penyediaannya.

“Di Johor, dodol bukan makanan utama ketika musim perayaan berbanding di negeri ini. Jadi bila datang ke sini, saya mahu mencuba dan ternyata rasanya lebih sedap serta tidak manis,” katanya.

“Memang susah sikit nak jumpa dodol cair di Johor termasuk semasa sambutan hari raya tapi lain di Negeri Sembilan. Saya memang gemar makan dodol, lagi-lagi yang cair. Sedap dan enak, rasanya manis tapi tak terlalu manis berbanding dodol yang adakala terlalu manis. Tarikan di kedai ini ialah peniaga menggunakan gula enau dan mampu membuatkan pelanggan untuk datang semula ke kedai ini untuk membeli produknya,” katanya.

Menurutnya, kedudukan kedai berada di tepi jalan memudahkan sesiapa sahaja melihat dan singgah untuk membeli sebelum pulang ke kampung halaman jika menuju ke Pantai Timur.

“Saya berharap, tradisi mengacau dodol bukan saja bila tiba musim perayaan tapi diteruskan pada hari biasa demi mengekalkan makanan tradisional orang Melayu. Selain memperkenalkan kepada generasi muda apa itu dodol atau penganan cair, warisan turun temurun,” katanya.

SUMBER – Petikan rencana daripada Sinar Harian Online (12 JUN 2018)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.