Penantian Berakhir, Tiada Lagi Bau Busuk Dari Bukit Palong, Lukut

PORT DICKSON, 3 Nov – Nama Bukit Palong suatu ketika dahulu sering disebut oleh masyarakat, malah ia turut menjadi isu dibangkitkan dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga ke Parlimen lantaran aduan penduduk yang tidak tahan bau busuk membelenggu mereka.

Akhirnya Bau Busuk Dari Bukit Palong, Lukut Sudah Tiada

Sinonim dengan Tapak Pelupusan Sampah Bukit Palong, lokasi itu memberi igauan ngeri kepada masyarakat sekitar kerana ia menerima sekurang-kurangnya lima tan sampah sehari.

Justeru, ia menjadi penyumbang pencemaran udara dan bau menusuk hidung, selain mengganggu kehidupan seharian penduduk yang berlarutan hampir 10 tahun.

Namun sejak dua tahun lalu, bau busuk berkenaan mula berkurangan dan kini tiada lagi, apabila operasi tapak pelupusan itu ditutup sepenuhnya oleh kerajaan selepas ia beroperasi lebih 20 tahun.

Lokasi baru bagi operasi pelupusan sampah berpindah ke Tapak Pelupusan Sampah Tanah Merah.

Bagi seorang penduduk, Adzhar Yahya, 56, berkata, penutupan kawasan berkenaan boleh diibaratkan sebagai lembaran baharu baginya, serta seluruh penduduk dan komuniti yang menetap atau bekerja di kawasan berhampirannya.

Katanya, dia menetap di Taman D’Ambang Kota terletak tiga ke empat kilometer dari tapak pelupusan itu sejak tahun 2000.

Menurutnya, ketika dia mula mendiami kawasan perumahan itu, masalah pencemaran bau memang sudah berlaku.

“Masa tu taman ini baru buka dan ramai pemilik rumah terpaksa pindah ke tempat lain kerana tak tahan bau busuk. Hanya segelintir saja yang nekad menetap di taman ini. Kadar sewa rumah di sini juga ketika itu rendah, sekitar RM200 ke RM250 sahaja namun masih tetap sukar pemilik rumah mencari penyewa.

“Pengunjung yang dalam perjalanan pergi atau balik dari pantai Port Dickson yang berhenti singgah solat di surau taman D’Ambang Kota juga sering terganggu dengan bau busuk. Mereka akan bertanya kepada jemaah tempatan, dari mana datangnya bau busuk tersebut,” katanya.

Adzhar berkata, selepas dua tahun lokasi ditutup, bau busuk tersebut sudah tiada lagi manakala kehidupan penduduk semakin sejahtera.

“Ekonomi penduduk juga semakin maju. Jika sebelum ini kedai-kedai makan tak laku, tapi hari ini penduduk mula menceburi perniagaan ini dan sambutan pelanggan sangat baik. Pemilik rumah yang dahulunya ‘lari’ kini telah mula kembali dan menetap di sini. Kadar sewa rumah juga semakin tinggi hingga ada yang mencecah ke RM450, naik sekali ganda jumlahnya,” katanya.

Sementara seorang lagi penduduk, Haliza Ramili, 53, berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh penduduk agar tapak pelupusan itu ditutup segera.

Dia yang menetap di Taman Wawasan Lukut memberitahu, antara usaha yang dilaksanakan penduduk adalah mengadu dengan PBT dan wakil rakyat.

“Usaha juga termasuklah mengadakan demonstrasi aman. Semuanya kami dah buat dan alhamdulillah sekarang telah dua tahun kami bebas daripada bau busuk sampah. Dulu setiap hari kami menghadap bau busuk. Bertambah teruk apabila musim hujan kerana baunya sangat menyesakkan hidung dan naik hingga ke kepala. Itu semua dah tinggal kenangan, kalau boleh tak nak lagi lalui keadaan macam tu,” katanya.

Haliza menambah, selain penutupan Pusat Pelupusan Sampah Bukit Palong, dia juga sangat menyokong usaha kerajaan yang menguatkuasakan pengasingan sisa pepejal bermula September 2015.

“Masyarakat diminta untuk mengasingkan sisa domestik dengan barang yang boleh dikitar semula. Ini supaya sampah dapat diurus dengan lebih baik menerusi kaedah tersebut. Hanya sisa domestik sahaja yang akan di bawa ke tapak pelupusan sampah. Ia boleh memanjangkan hayat tapak pelupusan berkenaan seterusnya boleh mengelakkan pertambahan tapak pelupusan sampah yang baru. Lebih teruk jika kita dah tak ada kawasan dan terpaksa buka tapak pelupusan sampah hampir dengan kawasan penduduk,” katanya lagi.

Kerja penutupan berjalan lancar

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Zainal Fitri Ahmad berkata, selepas ditamatkan operasi, Tapak Pelupusan Sampah Bukit Palong telah selesai menjalani rawatan penutupan selamat fasa pertama dan kini baru bermula untuk fasa kedua.

“Tapak pelupusan sampah ini bagi fasa pertama telah ditutup. Lokasi yang terlibat kini sedang dijalankan rawatan leachate treatment plant. Sementara fasa kedua penutupan selamat bermula September lalu dan dijangka siap pada Mac 2019,” katanya.

Sumber – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (3 NOVEMBER 2017)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.