Pembangunan Jelebu Menfokuskan Kesejahteraan Penduduk

satu program percuma khas oleh orangnogori.com

JELEBU, 12 Apr – Jelebu ialah daerah kedua terbesar di negeri ini dengan keluasan kira-kira 136,751 hektar. Lebih 61 peratus daripada keluasan itu masih dilitupi hutan dengan sebahagian besar bentuk muka bumi berbukit-bukau ter­utamanya bahagian utara daerah itu yang merupakan penghujung Banjaran Titiwangsa.

Ia adalah sebuah daerah yang berkembang daripada industri asas tani dengan pekan Kuala Klawang menjadi tumpuan utama aktiviti ekonomi dan penduduk yang berjumlah lebih 43,000 orang.

Beberapa kemudahan penting disediakan oleh kerajaan antaranya Kompleks Pentadbiran Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Hospital Jelebu, stadium mini Kuala Klawang serta Muzium Adat Negeri Sembilan yang menjadi tarikan dalam kalangan pelancong.

Walaupun hanya sebuah pekan kecil, penduduk daerah ini gemarkan suasana tenang, jauh daripada hiruk-pikuk seperti di bandar besar.

Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah Jelebu, Datuk Yunus Rahmat, kerajaan terus memberi perhatian terhadap kemudahan rakyat di Jelebu walaupun bukan dalam bentuk infrastruktur besar seperti di bandar.

Katanya, tumpuan diberikan kepada projek membaiki dan menyelenggara infrastruktur untuk rakyat seperti membina serta menurap jalan kampung, membaiki tebing sungai yang runtuh dan pelbagai kemudahan bagi menjayakan aktiviti pertanian.

“Sehingga kini, kira-kira 95 peratus jalan kampung di seluruh daerah ini sudah diturap sejak lima tahun lalu. Dalam hal ini Pejabat Daerah Jelebu telah berjaya mengumpulkan semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk program turun padang bergabung tenaga melaksanakan projek-projek kecil yang mempunyai kesan langsung kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau memberitahu, usaha membantu rakyat melalui Dasar Jaringan Sosial juga bertambah cekap dengan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitumal kini pergi ke rumah penerima yang uzur dan tidak berdaya untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada mereka.

“Ini sejajar dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu jabatan dan agensi kerajaan tidak menunggu di pejabat untuk memberi per­khidmatan tetapi pergi kepada rakyat untuk menyampaikan per­khidmatan,” ujarnya.

Yunus memberitahu, projek penting yang akan dilaksanakan di Jelebu ialah pembinaan jalan menghubungkan Kampung Gagu ke Broga bernilai lebih RM100 juta.

“Selain itu, kita berharap jalan antara Ulu Jelebu di sini ke Langkap dekat Tanjong Ipoh di Kuala Pilah dapat dibina oleh kerajaan. Ia penting dalam usaha me­ngatasi kesesakan trafik di Jalan Seremban-Kuala Pilah ketika ini,” katanya.

Tambahnya, bangunan baharu Pejabat Agama Islam Daerah di Jalan Kuala Klawang-Titi juga te­lah siap dibina dan dijangka dapat digunakan tidak lama lagi.

SUMBER – Petikan berita daripada Utusan Online (13 April 2018 3:00 AM)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.