Musang King Percuma Untuk Ahli Kariah

KUALA PILAH, 8 Apr – Jawatankuasa Masjid Saidina Ali, Batu 46, Senaling, Kuala Pilah, mengambil langkah proaktif dengan mengusahakan projek tanaman durian Musang King untuk dinikmati ahli kariah secara percuma.

(Gambar atas) Pengerusi Kariah Masjid Saidina Ali, Habib Kamari menyiram anak benih Musang King yang ditanam di Masjid Kariah Saidina Ali. FOTO Harian Metro

Diusahakan di atas tanah milik masjid berkeluasan 0.8 hektar, sebanyak 83 anak pokok raja buah itu ditanam dan dijangka dapat dituai dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Saidina Ali, Habib Kamari berkata, inisiatif itu dilakukan bagi memberi peluang kepada ahli kariah menikmati buah durian gred terbaik itu memandangkan harga pasarannya terlalu tinggi.

“Seperti diketahui, harga durian Musang King di pasaran terlalu mahal dan tidak ramai dalam kalangan kita berkemampuan untuk membeli dan menikmatinya ketika musim durian.

“Maka, bermula dari situ, timbul idea dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid ini untuk menanam pokok durian Musang King di atas tanah milik masjid yang terletak bersebelahan supaya suatu hari nanti semua kariah di sini dapat menikmatinya,” katanya.

Katanya, pengurusan masjid memperuntukkan kos berjumlah RM15,000 bermula dari meratakan tanah hingga membeli benih pokok dan setiap peserta diberi secara percuma benih pokok itu untuk ditanam.

“Kita memberi secara percuma dan berkonsepkan siapa cepat dia dapat sebelum membuat undi bagi mengagihkan tapak benih secara adil dan peserta perlu bertanggungjawab ke atas pokok itu. Apa yang penting, jangan sampai benih pokok itu mati dan jika berlaku sedemikian, menjadi tanggungjawab peserta untuk menggantikannya semula,” katanya.

Menurut Habib, selain mengusahakan pokok durian, peserta juga digalakkan menanam tanaman kontan seperti serai, cili dan sebagainya.

“Dalam menunggu pokok durian membesar, kita boleh memetik hasil tanaman kontan seperti cili, pisang, serai yang pastinya menjimatkan kos perbelanjaan dapur. Di samping itu, projek ini menggalakkan ahli kariah bercucuk tanam kerana kebanyakan mengalami masalah kekurangan tanah di taman perumahan, maka ahli kariah perlu merebut peluang ini,” katanya.

Katanya, apabila pokok durian berkenaan mengeluarkan hasil, setiap peserta boleh menyumbang hasilnya di masjid untuk dinikmati bersama jemaah.

Pengerusi Kariah Masjid Saidina Ali, Habib Kamari menyiram anak benib Musang King yang ditanam di Masjid Kariah Saidina Ali.

SUMBER – Petikan berita daripada Harian Metro Online (Ahad, 8 April 2018 @ 5:26 PM)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.