Lelaki Dikhuatiri Lemas, Berkemungkinan Membunuh Diri

PORT DICKSON, 3 Feb Seorang lelaki berusia 30-an dikuatiri lemas apabila dia dilihat menggunakan sebuah pelampung kecil berenang dari pantai Port Dickson menuju ke tengah laut kira-kira pukul 10 malam tadi.

(Gambar Atas) Pihak berkuasa meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas semalam di pantai Port Dickson hari ini. FOTO – Kosmo Online

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, siasatan awal bomba tidak menolak kemungkinan lelaki itu bertindak demikian kerana cuba membunuh diri.

Menurut beliau, lelaki itu dipercayai cuba membunuh diri berdasarkan maklumat oleh seorang pemancing lelaki yang kebetulan berada di lokasi kejadian malam tadi.

“Pemancing ini mendakwa dia melihat lelaki itu berenang ke tengah laut dan kemudian hilang daripada pandangannya.

“Dia kemudian menghubungi pihak bomba pada pukul 10.16 malam bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Kamal berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada bomba, polis dan Maritim Malaysia (APMM) digerakkan untuk mencari mangsa sejurus menerima maklumat.

Tambah beliau, SAR dianggotai kira-kira 30 pegawai dan anggota pelbagai agensi keselamatan melibatkan beberapa buah jentera termasuk bot.

Jelas beliau, agensi keselamatan di Port Dickson bagaimanapun belum menerima laporan orang hilang yang boleh dikaitkan dengan insiden tersebut.

“Sehingga pagi ini, mangsa belum dapat dikesan dan operasi sedang diteruskan,” katanya.

SUMBER – Petikan berita daripada Kosmo Online (3 Februari 2018 | 10:03 AM)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.