Kontrak Azraai Khor Dengan Negeri Sembilan Ditamatkan

SEREMBAN, 12 Mei – Prestasi Negeri Sembilan yang tidak memuaskan pada saingan Liga Super 2018 menyebabkan kontrak ketua jurulatih, Azraai Khor Abdullah ditamatkan berkuat kuasa kelmarin.

Pengendali berusia 65 tahun itu dilihat gagal membantu meningkatkan prestasi Negeri Sembilan selepas hanya mencatatkan dua seri daripada lima perlawanan setakat kini.

Penamatan kontrak tersebut disahkan oleh pengurus pasukan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohamad Haslah Mohd. Amin semalam.

Menurut beliau, tempat Azraai kini diganti oleh jurulatih baharu dari Portugal, Mario Lemos, 34, mulai kelmarin.

“Penamatan kontrak Azraai bukan diputuskan secara mudah, sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi sepanjang lebih sebulan beliau menjalankan tanggungjawab itu sejak Mac lalu.

“Prestasi dan pencapaian pasukan dalam tempoh beliau menjalankan tugas tidak menampakkan peningkatan dan selepas meneliti secara keseluruhannya, kami terpaksa mengambil tindakan menamatkan kontrak beliau serta-merta,” katanya di sini semalam.

Mengulas mengenai pelantikan Lemos, Mohamad Haslah berkata, bekas jurulatih kebangsaan Bangladesh itu menandatangani kontrak bersama skuad Rusa sehingga hujung saingan musim ini.

“Pelantikan Lemos dibuat selepas PBNS melihat rekod pencapaian beliau selain kesediaannya untuk mengembalikan semula prestasi Negeri Sembilan.

“Lemos sudah memulakan tugasnya semalam (kelmarin) dan saya harap beliau mampu mengembalikan semula kekuatan serta persembahan pasukan Negeri Sembilan untuk kembali mencatat kemenangan pada perlawanan akan datang,” ujarnya.

Selepas sembilan perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan kini menduduki tangga tercorot carta dengan meraih lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri.

Dalam perkembangan berkaitan, PBNS dikatakan bakal mendapat presiden baharu berikutan peralihan kuasa pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Rabu lalu.

Sumber berkata, berdasarkan perlembagaan persatuan itu, jawatan presiden perlu diisi oleh Menteri Besar.

Bagaimanapun difahamkan, jawatan Presiden PBNS pada masa ini masih dipegang oleh Datuk Seri Mohamad Hasan.

SUMBER – Petikan berita daripada KOSMO! Online (12 Mei 2018 | 2:29 AM)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.