Keluarga Harap Farid Dapat Laksana Tugas MB Dengan Baik

PORT DICKSON, 12 Mei – “KAMI sekeluarga harap ‘Farid’ dapat melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dengan baik dan disenangi oleh rakyat,” kata Mohd Amin Harun, 54.

Mohd Amin berkata, keluarganya berbangga apabila adiknya Aminuddin, 51, dilantik sebagai menteri besar hari ini selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pimpinan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, anak bongsu daripada enam beradik itu lebih mesra dengan panggilan Farid dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat di kampung.

“Ketika mahu mendaftarkan nama selepas dia dilahirkan, ayah (Harun Selamat, 104) terlupa meletakkan nama Farid dalam borang pendaftaran sebaliknya hanya meletakkan Aminuddin sahaja.

“Tetapi sejak itu kami sekeluarga memanggilnya dengan nama Farid,” katanya ketika ditemui dalam majlis kesyukuran yang diadakan di rumahnya di Kampung Pachitan, Chuah, Port Dickson, petang ini.

Harun yang berkerusi roda akibat uzur kelihatan menitiskan air mata apabila Aminuddin meminta restu daripadanya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah.

Kepulangan Aminuddin turut disambut keluarga terdekat, rakan sekolah serta penduduk kampung.

Mohd Amin berkata, dia tidak menyangka adiknya akan menjadi pemimpin nombor satu negeri ini apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dalam PRU-14, baru-baru ini.

Katanya, Aminuddin paling rapat dengannya kerana perbezaan usia yang tidak jauh.

“Dia memang seorang yang baik dan mempunyai sifat kepimpinan sejak dahulu lagi. Saya gembira dan berbangga dia akhirnya bergelar Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Negeri Sembilan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

SUMBER – Petikan berita daripada Harian Metro Online (12 Mei 2018 | 5:35 PM)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.