Kapten Yazid Ahmad, Wira Yang Gugur Mempertahankan Tanah Melayu

Negeri Sembilan telah melahirkan ramai tokoh yang berjuang ketika negara berada di dalam zaman penjajah terutamanya Inggeris dan Jepun. Sepertimana Leftenan Muda Adnan Saidi daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu (The Malay Regiment) yang terkorban mempertahankan Singapura daripada serangan Tentera Jepun pada 14 Februari 1942. Ada juga tokoh pejuang dari Negeri Sembilan yang turut sama mempertahankan negara daripada serangan tersebut.

Kapten Yazid Ahmad, Wira Yang Gugur Mempertahankan Tanah Melayu

Kapten Yazid Ahmad

Salah seorang yang kami akan ceritakan pada kali ini ialah Kapten Yazid Ahmad. Kapten Yazid merupakan anak kelahiran Kampung Linggi, Negeri Sembilan. Beliau yang berkhidmat sebagai seorang guru di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak kemudiannya menganggotai Straits Settlement Volunteer Force (SSVF) sebagai pasukan tentera sukarela.

Ketika Tanah Melayu diserang oleh tentera Jepun, beliau telah ditugaskan untuk mempertahankan Singapura. Walaubagaimanapun Kapten Yazid Ahmad tidak bernasib baik apabila beliau bersama tentera yang lain ditawan oleh Jepun.

Kapten Yazid Ahmad, Wira Yang Gugur Mempertahankan Tanah Melayu

Singapore Memorial Park. Tempat dimana nama Kapten Yazid Ahmad terpahat pada tugu peringatan disini.

Kapten Yazid Ahmad, Wira Yang Gugur Mempertahankan Tanah Melayu

Beliau yang bersama-sama 8 orang pegawai Melayu lain telah diberikan dua pilihan bagi mengelakkan mereka dibunuh. Pilihan pertama ialah menyertai tentera Jepun sebagai Pegawai Tentera Jepun manakala pilihan kedua pula ialah tanggal pakaian tentera dan pangkat mereka di mana mereka perlu meninggalkan Singapura yakni pulang ke kampung.

Walaubagaimanapun, mereka telah menolak kedua-dua pilihan tersebut bagi mempertahankan maruah mereka sebagai pejuang Tanah Melayu. Oleh kerana kedegilan mereka, tentera Jepun telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas semuanya pada awal pagi 28hb Februari 1942 di Beduk Hill, Singapura.

Kapten Yazid Ahmad, Wira Yang Gugur Mempertahankan Tanah Melayu

Lokasi pembunuhan Kapten Yazid Ahmad bersama tawanan perang oleh tentera Jepun pada awal pagi 28hb Feb 2012.

Kesemua 9 orang pegawai tentera termasuk Kapten Yazid sendiri serta tahanan perang yang lain disusun dalam 3 barisan di mana setiap barisan terdapat 100 orang tahanan. Di hadapan mereka pula berdiri tentera yang bersiap sedia untuk menembak. Di belakang mereka pula lubang besar yang digali sebagai kubur mereka. Setelah senja, tentera Jepun terus melepaskan tembakan ke arah mereka. Difahamkan, kesemuanya dibunuh menggunakan Anti-Air Craft Gun.

Diantara yang tentera yang dibunuh oleh Jepun ialah;

  1. Kapten Raja Aman Shah bin Raja Harun (FMSVF). Cucu kepada Sultan Idris, di Perak.
  2. Leftenan Abbas bin Said (SSVF)
  3. Leftenan Abu Bakar bin Umar (SSVF)
  4. Leftenan Dato Osman bin Kering (SSVF). Undang Luak Naning yang ke-17
  5. Kapten Yazid bin Ahmad (FMSVF)
  6. Leftenan Ariffin bin Haji Sulaiman
  7. Leftenan Abdul Wahid bin Mat Kidam
  8. Leftenan Abdullah bin Saad
  9. Leftenan Jafaar bin Sidek

Kapten Yazid Ahmad, Wira Yang Gugur Mempertahankan Tanah Melayu

Leftenan Dato’ Osman bin Kering yang merupakan Undang Luak Naning ke-7 juga turut dihukum bunuh bersama Kapten Yazid Ahmad

Kapten Yazid Ahmad, Wira Yang Gugur Mempertahankan Tanah Melayu

Majalah SITC 1938. Gambar dari Buku Tangga Bachaan oleh Ahmad Murad bin Nasruddin 1956.

Kini hanya nama mereka disemadikan di Singapore Memorial Park tanpa diketahui dimanakah bersemadinya jasad mereka. Mungkin jasad mereka berada di lokasi pembunuhan berlaku. Apapun semoga roh mereka semua dicucuri rahmat dan sama-sama kita sedekahkan alfatihah kepada semua pejuang negara ini.

SUMBER – Facebook NagariNanTuo; tranungkite.net; eresources.nlb.gov.sg (The Massacre On Bedok Hill); Utusan Online (Gagah berani 7 Pahlawan Melayu); pesona.mmu.edu.my (SEJARAH PENUBUHAN ASKAR WATANIAH); Facebook Haliza Hashim.

FAKTA TAMBAHAN: Penyertaan rakyat dalam Angkatan Sukarela di Semenanjung Malaysia bermula semenjak 1902 lagi apabila Kerajaan Inggeris menubuhkan Pasukan Sukarela di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dipanggil Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF), Pasukan Sukarela di Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dipanggil Unfederated Malay States Volunteer Force (UNFMSVF) dan di Negeri-Negeri Selat pula ialah The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).

Pasukan-pasukan Sukarela telah memainkan peranan yang begitu penting terutamanya semasa dalam Peperangan Dunia Kedua, darurat 1948-1960 dan konfrontasi. Semasa darurat ia dikenali sebagai ‘Home Guard’. Pasukan ini telah disusun semula sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan pada 1 Jun 1958 dan seterusnya dikenali sebagai Askar Wataniah Malaysia.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.