Kanak-Kanak Hiperaktif Hilang Dari Rumah, Sudah Ditemui

satu program percuma khas oleh orangnogori.com

PORT DICKSON, 13 Mei – Selepas hampir 24 jam hilang, seorang kanak-kanak perempuan hiperaktif ditemui cedera dalam parit sedalam lebih satu meter di ladang kelapa sawit dekat Sengkang, Pasir Panjang di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar, berkata kanak-kanak berusia dua tahun itu disedari hilang dari rumahnya di Kampung C, Batu 18 di sini, pada jam 4.30 petang, semalam menyebabkan keluarganya cemas.

Katanya, ahli keluarga dan penduduk kampung cuba mencarinya di kawasan sekitar, termasuk di ladang kelapa sawit berkenaan sehingga jam 4.50 pagi tadi, namun gagal.

“Ibu bapa mangsa kemudian menghubungi bomba jam 4.55 pagi untuk mendapatkan pertolongan.

“Seramai 24 anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat dengan dibantu penduduk kampung serta polis,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohd Kamal berkata, pihaknya memulakan pencarian di sekitar ladang itu pada jam 5.20 pagi dengan membahagikan pasukan kepada tiga kumpulan.

“Selepas sembilan jam mencari, mangsa ditemui di dalam parit dengan kedalaman lebih satu meter jam 2.25 petang tadi.

“Kami segera mengeluarkannya dan mendapati terdapat kecederaan ringan pada kepala, tangan dan kaki selain calar serta lebam di beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, lokasi kanak-kanak itu ditemui dianggarkan sejauh dua kilometer dari rumahnya.

“Berdasarkan siasatan awal, ibu bapa mangsa berusia lingkungan 40-an memaklumkan anak mereka adalah kanak-kanak hiperaktif. Ini bukan kejadian pertama kerana kanak-kanak itu pernah hilang sebelum ini, namun berjaya ditemui,” katanya.

Mohd Kamal berkata, kejadian itu bukan disebabkan masalah keluarga atau penculikan sebaliknya kanak-kanak terbabit dipercayai keluar dari rumahnya sendiri.

“Buat masa ini, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendapatkan rawatan selepas hampir 24 jam tidak makan dan minum. Biarpun cedera ringan, kami bersyukur dia selamat,” katanya.

SUMBER – Petikan berita daripada Berita Harian Online (13 Mei 2018 | 5:54pm)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.