Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Umum mengetahui bahawa sistem beraja di Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih, dimana DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih melalui sistem pemilihan ala demokrasi oleh Undang Yang Empat, iaitu penghulu yang mentadbir luak masing-masing.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhammad Shah Ibni Almarhum Tuanku Antah bersama pembesar dan orang-orang istananya. Istiadat Menabal dimulakam semasa pemerintahan baginda yang banyak sekali terlibat dalam pembentukan Majlis Raja-Raja Melayu, Persekutuan Tanah Melayu juga penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Gambar kredit kepada tuan Munzir Alhan

Namun, selain Undang Yang Empat di Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol, pentadbiran luak-luak lain di Negeri Sembilan juga diketuai oleh Penghulu Luak.

Selain empat luak yang telah dinyatakan di atas, terdapat satu wilayah, terdiri di dalamnya lima luak atau jajahan kecil yang secara umumnya digelar Luak Tanah Mengandung. Ini menjelaskan bahawa ‘Negeri Sembilan’ adalah gabungan wilayah-wilayah atau ‘negeri’ pembesar dari empat luak ditambah dengan lima penghulu luak dari Luak Tanah Mengandung, menjadikan sembilan ‘negeri’ di dalam Negeri Sembilan.

Lima ‘kerajaan kecil’ di dalam Luak Tanah Mengandung ini ialah Luak Inas, Luak Jempol, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir dan Luak Terachi. Selain Luak Tanah Mengandung yang lima, ada dua lagi luak kecil diketuai oleh Penghulu Luak iaitu Luak Gemencheh dan Pesaka Air Kuning.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung di Negeri Sembilan

Ketujuh-tujuh luak kecil ini berada di dalam ‘air kaki lingkungan’ Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang asalnya di Seri Menanti.

Setiap tujuh luak-luak kecil ini menumpahkan taat setianya kepada Yamtuan Besar Negeri Sembilan. Penghulu Luak iaitu ketua bagi setiap luak-luak ini pula suatu ketika dahulu akan datang mengadap kebawah duli Yamtuan Besar Negeri Sembilan dalam ‘Istiadat Menabal’.

Ia kemudiannya ditukar nama kepada ‘Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap’ seperti yang dikenali sehingga hari ini bagi mengelak salah faham penggunaan perkataan ‘tabal’ yang disifatkan hanya sesuai untuk istiadat pertabalan raja.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap ini dipersetujui untuk diadakan oleh datuk-datuk penghulu luak bermula pada semasa zaman Tuanku Muhamad semasa pemerintahan baginda Tuanku selaku Yamtuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1898. Istiadat ini diadakan sekali dalam setiap tempoh tiga tahun seseorang itu memegang jawatan Penghulu Luak.

Istiadat yang memakan masa sehingga tiga hari ini mempunyai tiga peringkat iaitu Peringkat Memasang dan Menurunkan Alat Kebesaran, Peringkat Bersiram dan Peringkat Menghadap. Setiap peringkat akan mengambil masa selama sehari dari mula hingga tamat upacara.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Alat-alat Kebesaran Diraja

1. Peringkat Upacara Memasang Alat Kebesaran Diraja
Semasa Peringkat Memasang dan Menurunkan Alat Kebesaran, setiap alat kebesaran akan dibawa keluar, diperaga dan diperiksa oleh baginda Tuanku sendiri. Alat kebesaran dipersembah, diperiksa, dan diperaga sambil diperhatikan oleh penghulu-penghulu luak yang terlibat bersama lembaga masing-masing.

Alat kebesaran yang selesai diperiksa akan kemudiannya dibawa oleh 99 Orang Istana ke Laman Istana Besar Seri Menanti untuk dipasang dan diperaga.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

99 Orang Istana yang diketuai Datuk Seri Amar Diraja mengarak keluar alat kebesaran diraja untuk dipasang di halaman Istana Seri Menanti

Ia kemudian akan dipasang dan diperaga dengan iringan bedilan meriam. Hari pertama upacara itu selesai apabila alat kebesaran yang terdiri lapan payung kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat panji-panji kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan tombak berambu selesai dipasang selama tiga hari istiadat berlangsung.

2. Peringkat Upacara Bersiram
Peringkat Kedua ialah Peringkat Bersiram. Seawal pagi hari kedua, Yamtuan bersama Tuanku Permaisuri akan keluar dari bilik beradunya dari Istana Besar Seri Menanti untuk kemudiannya ditarik di atas pedati khas dengan nama ‘Takhta Rencana’ oleh 99 orang istana, termasuk diiringi oleh Orang Empat Istana, Orang Lapan Istana dan Orang 16 Istana.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud diarak menaiki Tahta Rencana sambil diiringi oleh pembesar istana menuju ke Panca Persada untuk upacara Istiadat Bersiram

Di atas Takhta Rencana pula, tuanku berdua bersemayam dengan diapit kiri dan kanan oleh Datuk Laksamana II yang memegang Pedang Sebarau Bujang dan Datuk Kanda Maharaja memegang Keris Sanawi. Datuk Mangku pula akan memegang Payung Kuning manakala Datuk Bentara Perempuan membawa kipas keemasan.

Perarakan yang bermula pada awal pagi itu, didahului kumpulan rebana sambil bersalawat, kemudian diikuti 99 Orang Istana yang membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa cepu bedak limau oleh Datuk Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana. Ia turut diiringi setiap Penghulu Luak terlibat Dato’ Lembaga masing-masing.

Pedati yang membawa Tuanku ini akan menuju ke tempat bersiram yang terletak lebih kurang 400meter dari Istana Besar dinamakan ‘Panca Persada’, sambil turut disaksikan rakyat jelata yang hadir bersama dijemput untuk memeriahkan sambutan ini yang berlangsung seakan-akan pesta setiap tiga tahun sekali.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Panca Persada – Tempat berlangsung adat bersiram

Sesampainya Takhta Rencana ke Panca Persada, baginda Tuanku bersama permaisurinya akan duduk dan Upacara Bersiram akan dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu yang membawa cepu bedak limau menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di atas meja di hadapan Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar.

Orang Empat Istana kemudian memulakan tujuh pusingan sambil membawa cepu bedak limau dengan mengelilingi tuanku berdua. Selesai pusingan itu, cepu bedak limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai oleh Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir Zaman secara bergilir-gilir dan tuanku berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan, dan menyapu air tangan ke muka masing-masing.

Selesai bersiram, baginda Tuanku akan ditarik semula di atas Takhta Rencana ke Istana Besar Seri Menanti dan akan mengakhiri hari tersebut atau peringkat kedua Bersiram dengan santapan diraja bersama setiap pembesar juga rakyat yang hadir bersama menyaksikan upacara itu.

3. Peringkat Upacara Menghadap dan Upacara Menurunkan Alat Kebesaran Diraja
Peringkat ketiga adalah peringkat paling penting dalam keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap, iaitu Peringkat Menghadap sendiri.

Upacara tertutup ini akan dimulakan apabila baginda Tuanku keluar dari peraduan dan bilik persalinan dan masuk ke Balairong Seri untuk bersemayam di atas takhta.

Pada tahun 2009, kali terakhir istiadat ini dilangsungkan, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bersama permaisuri baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud akan bersemayam sambil turut diiringi oleh setiap Putera Yang Empat iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Laxmana, YAM Tunku Muda Serting dan YAM Tunku Panglima Besar.

Hari ini, penyandang-penyandang jawatan tersebut ialah YAM Tunku Ali Redhaudin ibni DYMM Tuanku Muhriz sebagai Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Naqiuddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai Tunku Laxmana, YAM Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai Tunku Muda Serting dan YAM Tunku Nadzaruddin sebagai Tunku Panglima Besar.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Aishah duduk bersama Putera Yang Empat

Dato’ Bentara Dalam akan memulakan upacara dengan memanggil menghadap, bermula dengan Penghulu Luak paling kanan iaitu Penghulu Luak Ulu Muar bersama setiap lembaganya. Ia akan diakhiri dengan Penghulu Luak Gemencheh dan dari Pesaka Air Kuning, juga dengan setiap lembaganya.

Dalam upacara ini, Penghulu Luak akan tampil ke hadapan baginda dari bawah singgahsana. Beliau akan memulakan tatacara ‘Langkah Tujuh’, melalui tujuh anak tangga takhta bahginda Tuanku, sambil diiringi setiap Lembaga masing-masing.

Setiap Penghulu Luak akan bersimpuh, kemudian merangkak tiga kali untuk kemudiannya kembali duduk bersimpuh di hadapan baginda Tuanku, dibuat di setiap mata tangga dalam tujuh ulangan setiap satunya.

Setiap kalinya penghulu luak dan lembaga-lembaga mereka akan mengangkat tangan menyembah sekali kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di hadapannya. Tangan untuk menyembah akan digilirkan dari sisi kanan dan kiri sebelum dirapatkan pada batang hidung pada setiap kali angkat sembah dilakukan.

Sembah terakhir akan diakhiri dengan ungkapan “Menjunjung kasih Tuanku”, kemudian Penghulu Luak akan kembali tunduk dan mencium belakang tangan baginda tuanku tanda kasih dan taat setia beliau serta seluruh isi luaknya di atas kekuasaan baginda Tuanku. Perbuatan mencium dan mengangkat sembah terakhir ini akan dibuat sebanyak tiga kali ulangan setiap satunya.

Lafaz ikrar taat setia bagi setiap Penghulu Luak adalah berbeza bagi setiap dari mereka yang hanya dilafazkan secara peribadi kepada baginda Tuanku juga Tuanku Permaisuri semasa di atas takhta.

Usai mencium belakang tangan baginda Tuanku, Penghulu Luak dan lembaga masing-masing akan mengundur juga dengan cara sama mereka hadir kehadapan untuk menghadap tadi sebelum mengakhiri upacara Menghadap.

Upacara terakhir dalam istiadat ini ialah menurunkan alat kebesaran di mana setiap alat kebesaran yang dipasang pada hari pertama tadi akan diturunkan untuk disimpan bagi kemudiannya akan dikeluarkan semul1 bagi istiadat lain di Istana Besar Seri Menanti.

Sememangnya, ‘Istiadat Menabal’ atau kini dikenali sebagai ‘Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap’ ini bertujuan memperbaharui sumpah taat setia Luak Tanah Mengandung dan luak-luak kecil kepada baginda Tuanku. Ia juga suatu ketika dahulu berfungsi sebagai wadah penyampaian khabar dari setiap luak kepada Tuanku selaku Yamtuan Besar ketika itu. Setiap urusan dan pemakluman tentang hal ehwal pentadbiran luak, kutipan cukai, perkembangan setiap luak, termasuk jika ada peristiwa-peristiwa penting berlangsung di luak masing-masing yang perlu dikhabarkan kepada baginda Tuanku tentangnya.

Penghulu Luak yang turut digelar sebagai Tiang Seri Istana, akan menyokong, selain berfungsi sebagai tangan, juga ‘mengkerajaankan’ baginda atas titah Tuanku sebagai Yamtuan Besar di luak masing-masing.

Kali terakhir istiadat ini diadakan secara rutin tiga tahun sekali ialah semasa bersemayamnya Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Tuanku Abdul Rahman selaku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar 1967 hingga 2008. Ia bagaimanapun diadakan hanya sekali sepanjang pemerintahan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir kini iaitu pada tahun 2009.

Istiadat ini tidak lagi diadakan selepas itu, namun sumpah dan ikrar taat setia kepada baginda Tuanku tetap kekal dan sentiasa diingati demi keharmonian negeri dan kedaulatan baginda Tuanku di atas singgahsana.

Taat setia kepada baginda Tuanku bukan sahaja oleh Penghulu Luak dan Lembaga di dalam Luak Tanah Mengandung dan dua luak kecil tersebut, malahan dari segenap isi perut negeri.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menyambut hari keputeraan baginda yang ke-70 Pada 14 Januari 2017 lepas

Harapan kami hamba rakyat supaya Negeri Sembilan terus mekar maju dan membangun di bawah lingkungan rahmatNya dengan baginda Tuanku selaku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, tidak mengira barangsiapa sekalipun diizinkanNya sebagai batang tubuh untuk menduduki takhta akan datang.

Sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Ke-70 pada 14 Januari lepas, kami sekalian rakyat mendoakan semoga Tuanku terus dipanjangkan umur dan diberi rahmat olehNya untuk terus kekal di atas singgahsana, mentadbir Negeri Sembilan dengan penuh adil, saksama dan bijaksana.

Daulat Tuanku,
Daulat Tuanku,
Daulat Tuanku!

RUJUKAN;
1. Catatan Temubual oleh Y. Bhg Dato’ Haji Muhamad Bin Haji Yassin, Y. Bhg Dato’ Haji Muhammad bin Haji Yassin, Ahli Jawatankuasa Unit Adat Perpatih Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
2. Rencana Tiga Hari di Seri Menanti: Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap, Astro Awani, 2014.

SUMBER – Petikan artikel daripada Khairul Ashraf Muhammad (Facebook 14 January | 19:19)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.