FAMA Turunkan Harga Barangan

REMBAU, 14 Apr – Program Jimat Belanja Dapur yang dilaksanakan Fama dilihat mampu menjimatkan perbelanjaan pembeli di pasar tani sekitar lima hingga 20 peratus.

(Gambar atas) Dari kiri; Rosilawati, Zaifulbahri dan Muslim meninjau gerai jualan dalam penurunan harga sempena Majlis Pelancaran Program JBD di Pasar-pasar Tani Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Tani Rembau, tadi.

Pengarah Fama Negeri Sembilan, Muslim Manja berkata, kesemua 24 buah pasar tani di negeri ini mengambil bahagian membabitkan 34 jenis barangan antaranya bawang, sayur-sayuran, ayam, ikan termasuk barangan kawalan.

Menurutnya, program akan dilaksanakan secara berterusan dengan matlamat agar peniaga di pasar awam dan premis perniagaan lain mencontohi penurunan harga bagi beberapa produk seperti yang terdapat di pasar tani.

“Program ini dilaksanakan berterusan sehingga orang lain akan ikut harga yang ditawarkan di pasar tani. Itu matlamat kami (Fama).

“Kalau hari ini, ayam kita boleh jual dengan harga RM7.00 sekilogram berbanding di pasar awam yang menawarkan harga RM8.30. Kalau ikan bukan keseluruhan ikan segar yang ada tetapi kita tumpu beberapa jenis ikan antaranya ikan cencaru, ikan kembong, ikan pelaling dan ikan selar.

“Harga di pasar biasa ikan kembong RM18 tetapi di sini RM17,” katanya di Majlis Pelancaran Program Jimat Belanja Dapur Pasar Tani Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Tani Rembau, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zaifulbahri Idris; serta Pengarah Bahagian Pasar Tani, Rosilawati Abu Hassan.

Sementara itu, Muslim memaklumkan, program berkenaan telah pun dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Tasik Chini, Pekan, Pahang pada 31 Mac lalu.

Ujarnya, berlaku peningkatan dalam permintaan bagi stok produk-produk yang di bawa seperti jenis-jenis bawang, kentang dan tomato.

“Kita lihat berlaku peningkatan permintaan, mungkin disebabkan penawaran harga jauh lebih rendah dari harga yang ditawarkan di pasaran. Program ini adalah sebahagian usaha membantu pembeli melakukan penjimatan dan dalam masa yang sama mengatasi kos sara hidup yang tinggi bagi mengurangkan beban pembeli,” katanya.

Untuk rekod, program Jimat Belanja Dapur yang telah diperkenalkan sejak 2013 itu, telah dilaksanakan di 26 lokasi di negeri ini membabitkan pasar tani, AgroBazaar Rakyat 1Malaysia, AgroBazaar Kedai Rakyat, AgroBazaar K-Shoppe dan jemputan jabatan mahupun agensi dengan nilai jualan dicatatkan dari Januari hingga Mac sebanyak RM361,120.86.

SUMBER – Petikan berita daripada Sinar Harian Online (14 APRIL 2018)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.